Dua beradik rentung tinggal sendirian di rumah, gagal diselamatkan angkara asap tebal


  • 112
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Jit Huey (kanan) bercakap sesuatu bersama Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor Zull Azman Jamaludin (kiri) di lokasi kejadian. — Bernama

DATUK saudara dua beradik yang rentung dalam kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, Johor pada Sabtu cuba menyelamatkan kanak-kanak terbabit namun terhalang oleh kepulan asap tebal.

Ismail Saad, 55, yang merupakan saksi pertama insiden malang itu berkata, dia terhidu bau hangit sebelum melihat kepulan asap keluar dari rumah mangsa yang hanya terletak bersebelahan dengan rumahnya.

Katanya, dia menyewa di situ sejak dua tahun lalu manakala keluarga mangsa kira-kira empat bulan lepas.

"Kelam-kabut semua ketika itu (termasuk ibu mangsa) bila nampak kepulan asap, saya redah masuk ke dalam rumah untuk selamatkan (kedua-dua beradik) hingga kaki terkena api sedikit tetapi asap tebal dan (keadaan di dalam rumah) gelap.

"Jadi saya keluar balik, tarik paip dan pecahkan cermin tingkap untuk pancut air dari luar kerana api marak sebab ada tilam dan cadar,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Ismail berkata, ketika kejadian, ibu mangsa yang dikenali sebagai Nurul Ain Najihah, 20-an, berada di rumahnya manakala bapa mereka, Muhammad Fikri, 20-an, bekerja.

Katanya kali terakhir dia berjumpa dua beradik itu ialah pada Sabtu pagi dan mereka kelihatan ceria seperti biasa.

Difahamkan ibu mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan anaknya.

Bagaimanapun, dia enggan ditemu bual ketika dipapah keluar oleh suaminya dari lokasi kejadian untuk ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

Muhammad Fikri pula berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersendirian di rumah kerana ibu mereka berada di rumah Ismail manakala bapa pula bekerja.

"Rumah ini dihuni pasangan suami isteri itu dan dua anak mereka, malangnya dua kanak-kanak itu terkorban dalam kebakaran.

"Setakat ini, (punca) kebakaran masih dalam siasatan dan sama ada kanak-kanak itu sedang tidur ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, dua beradik itu yang dikenali sebagai Muhammad Zafran, 3, dan Nurul Hawa Zafira, 2 ditemukan rentung di bilik tidur dalam kejadian pada pukul 1.40 tengah hari pada Sabtu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram