'Jumpa team lemah bolehlah' — Penyokong Kedah masih tak puas hati walaupun menang 'Northern Derby'


  • Podium
  • Ahad, 04 Sep 2022

Ronald Ngah (kiri) berjaya membantu pasukan Kedah mengutip tiga mata berharga selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan semasa bertemu Penang. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya kembali mencipta kemenangan dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.

Perlawanan tersebut bermula dengan agak perlahan kerana hujan lebat yang turun sedikit sebanyak mengganggu ketepatan hantaran dan corak permainan kedua-dua pasukan.

Selepas beberapa siri serangan yang berjaya dikekang pertahanan lawan, Kedah akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-56 melalui Ronald Ngah Wanja selepas penyerang berbisa itu menerima hantaran lolos dari Al-Hafiz Harun.

Kedah kekal di tangga ketujuh Liga Super dengan 21 mata, manakala Penang FC pula masih di berada di tangga terbawah liga dengan tujuh mata.

304775063_497245612236794_8960762321651261871_n

Penyokong Kedah masih tidak berpuas hati meskipun skuad Sang Kenari menang dalam perlawanan derbi utara pada Jumaat. Facebook/Kedah

Namun di sebalik kemenangan tersebut, penyokong Hijau Kuning masih belum berpuas hati dengan corak permainan skuad kendalian Aidil Shahrin dan ada juga mengatakan keputusan pada Jumaat hanyalah nasib buat pasukan Kedah.

"Jumpa team lemah bolehlah menang, itu pun perit, selepas ini jumpa pasukan yang lebih kuat berputih mata semua," kata Asrafudin Ahmad.

"Penang peluang nak jaringkan gol banyak juga, nasib baik tak dapat score kalau tidak gigit jari juga perlawanan malam itu," ujar Sarizal Saad.

"Tak puas hati betul dengan corak permainan Kedah, jumpa JDT lepas ini memang akan kena kalau gameplay macam itu, apa-apa pun tahniah untuk tiga mata di halaman sendiri," luah Azmi Kamal.

"Kedah terselamat sebab pertahanan, jadi selepas ini Kedah wajib cari pemain yang kental," jelas Abdul Wahab.

Selepas ini pasukan Kedah dijadualkan akan bertemu pasukan Melaka United pada 9 September depan di Stadium Hang Jebat, Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram