Fasiliti JDT, Real Madrid cetus inspirasi akademi Kelantan FC


  • Podium
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Fasiliti JDT dikatakan sebagai yang terbaik di Asia Tenggara. — Facebook/ JDT

IMPIAN untuk melihat satu lagi akademi berfasiliti lengkap di Malaysia bakal termakbul setelah pasukan gergasi Pantai Timur, Kelantan FC dijangka akan membangunkan kemudahan tersebut tidak lama lagi.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham memaklumkan, beliau sudahpun melawat beberapa kawasan yang dijangka menjadi lokasi terbaik untuk pembinaan stadium dan akademi tersebut.

Meskipun enggan mendedahkan lokasi sebenar sebelum segalanya tertulis secara rasmi, Zamsaham yakin dapat membina fasiliti yang boleh digunakan sepanjang tahun.

"Insya-ALLAH, saya akan melawat beberapa tempat di daerah Kelantan yang mana kerajaan negeri dan pihak kami akan pertimbangkan untuk projek berkenaan.

"Matlamat kami untuk bina akademi itu jelas. Kami harap dengan adanya kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, semua proses dapat dipermudahkan dan dipercepatkan.

"Kalau dia kata dapat 'esok', 'lusa' saya ratakan padang. Proses ini tidak mudah kerana melibatkan kelulusan daripada pelbagai pihak," katanya.

real

Fasiliti Real Madrid yang memiliki lebih dari satu padang menjadi inspirasi buat Kelantan FC. Agensi

Kalau boleh, jelas Zamsaham, beliau mahu sekurang-kurangnya empat atau lima padang nanti sesuai dengan konsep akademi.

"Saya nak bina padang terbuka dan padang berbumbung.

"Padang berbumbung sesuai untuk musim tengkujuh, saya mahu pemain-pemain Kelantan FC boleh berlatih bila-bila masa sahaja," katanya.

Mengulas mengenai inspirasi kepada stadium tersebut, usahawan dari Johor tersebut mahu menjadikan kelab Real Madrid dan kelab JDT sebagai inspirasi.

"Di Eropah, ada banyak contoh. Salah satunya, akademi Real Madrid. Kalau dalam negara, tiada siapa boleh nafikan JDT memiliki fasiliti terbaik.

"Kami bercita-cita seperti itu tapi mengikut kemampuan yang saya ada," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram