Kelantan, JDT atau 3 kelab ini, mana satu destinasi berpotensi buat Luqman Hakim?


  • Podium
  • Jumaat, 02 Sep 2022

Masa depan Luqman Hakim Shamsudin bersama kelab Belgium itu masih samar. — Instagram/KV Kortijk

MENJELANG musim baharu, setiap pasukan pasti melihat untuk membawa masuk pemain yang mampu membawa skuad masing-masing dalam mencapai satu tahap yang lebih tinggi.

Meskipun masih awal untuk melakukan penilaian, barisan kejurulatihan pasti sedang mengintai peluang dalam mendapatkan individu yang sesuai dengan pendekatan dan taktikal yang sedang diterapkan.

Baru-baru ini, kuat khabar angin yang ditiupkan dari Eropah mengatakan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin boleh meninggalkan kelab Belgium, KV Kortijk walaupun secara pinjaman berikutan kekurangan minit permainan.

Usianya yang masih muda, ditambah pula dengan persaingan yang sengit dalam posisi serangan telah menghadkan peluang bagi pemain ini beraksi dalam saingan Liga Pro Belgium meskipun kelab itu ketika ini bergelut dengan penyingkiran.

Ura-ura juga mengatakan bahawa terdapat beberapa destinasi berpotensi bagi Luqman selepas beberapa pasukan di Perancis, Jerman dan Norway menunjukkan minat terhadapnya.

Namun, tidak mustahil sekiranya pasukan di Liga Super mampu menjadi destinasi baharu buat pemain berusia 20 tahun ini bagi menunjukkan kebolehan selain menajamkan semula naluri penyerangnya.

Persoalannya, manakah kelab yang mampu menggunakan penyerang kelahiran Kelantan ini dalam usaha menambah baik kualiti jentera serangan mereka?

1. Kelantan FC

Prestasi Kelantan FC yang mula pulih semula berikutan pemilikan baharu oleh usahawan, Norizam Tukiman memberikan semangat kepada penyokong dalam menyaksikan semula pasukan itu.

The Red Warrior (TRW) kelihatan semakin bersemangat dalam persembahan yang ditampilkan di atas padang selepas beberapa musim bergelumang dengan isu kewangan.

Oleh itu, kelayakan mereka untuk beraksi di Liga Super pasti memberikan suntikan semangat buat pemilik untuk menghidupkan semula tahun-tahun kegemilangan yang dikecapi kelab itu.

Baru-baru ini, Norizam, atau juga dikenali sebagai Zamsaham, berminat untuk membawa masuk pemain kelahiran Kelantan bagi memacu TRW ke arah yang lebih tinggi.

298882379_7866160096787762_2298435815093834412_n

Luqman Hakim mampu menggantikan Nurshamil sekiranya dia menyertai kelab lain. — Facebook/TRW Kelantan FC

Jadi, kelab ini kelihatan seolah-olah satu destinasi yang tepat buat Luqman bagi membantu pemain ini sinonim dengan rentak permainan yang diterapkan pasukan berpangkalan di negara ini.

Bukan itu sahaja, kemampuan dan kelajuan yang dipunyai Luqman sebagai penyerang mampu menambah baik barisan serangan yang ketika ini sedang menempa nama di Liga Perdana.

Selain itu, masa depan penyerang berbisa, Norshamil Abd Ghani juga masih menjadi tanda tanya apabila prestasinya sedang menarik perhatian kelab-kelab lawan seperti Selangor FC dan Terengganu FC.

Kehadiran dan keberadaan Luqman mampu digunakan pasukan kendalian Rezal Zambery Yahya ini dalam merealisasikan harapan mereka untuk layak ke pentas Asia dalam masa yang terdekat.

2. Sabah FC

Pasukan yang berada di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee kini sedang berada dalam pencapaian tersendiri selepas mereka sedang berusaha untuk bermain di Liga Juara-juara AFC musim depan.

Kecemerlangan barisan pertahanan mereka terserlah apabila mereka hanya dibolosi sebanyak 15 kali setakat ini juga menyumbang kepada kedudukan mereka ketika ini.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya mereka mahu mendapatkan penyerang yang lebih tajam apabila terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa pasukan ini sedang berusaha mendapatkan khidmat penyerang PJ City FC, Darren Lok.

Namun, perhatian mereka mampu beralih sasaran sekiranya Luqman membuka pintu untuk pulang ke tanah air dalam usaha tampil dengan lebih kerap dalam setiap permainan.

Luqman yang masih berusia 20 tahun mempunyai pengalaman dan susuk fizikal yang mampu digunakan untuk bermain di Liga Super musim depan serta pentas Asia yang semestinya lebih mencabar.

Tambahan pula, tunjuk ajar yang dilimpahkan Kim Swee mampu dimanfaatkan Luqman dalam usaha mendapatkan tempatnya dalam skuad Harimau Malaya yang bakal bermain di saingan Piala Asia 2024.

Persoalannya, mampukah mereka memancing bakat bersinar ini yang pasti menarik perhatian pasukan-pasukan lain sekiranya Luqman meluahkan hasrat untuk beraksi di liga ini.

3. Terengganu FC

Tahun demi tahun, Terengganu FC mula menunjukkan kemampuannya sebagai salah satu pasukan yang memberi saingan kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam memecahkan dominasi mereka dalam kejuaraan Liga Super.

Selain bakal berentap dengan JDT dalam perlawanan akhir Piala FA, prestasi memberangsangakn skuad Sang Penyu juga menerima perhatian dalam liga apabila mereka menduduki tempat keempat.

Meskipun pasukan ini kelihatan stabil, penambah baikan pasti didambakan penyokong yang mahu melihat persembahan yang lebih konsisten bagi membolehkan mereka meraih lebih banyak kejayaan.

Perhatian pasti diberikan kepada barisan serangan apabila penyerang import, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman tidak beraksi dengan cemerlang musim ini selain khidmat pemain sayap, Faisal Halim dikehendaki pasukan-pasukan lain.

300380541_1531362650627744_3877458895542402872_n

Terengganu FC dalam kelas tersendiri musim ini. — Facebook/Terengganu FC

Perkara ini diburukkan dengan destinasi Jordan Mintah masih tidak dikenal pasti selepas menyertai KL City FC secara pinjaman, sekali gus berpotensi mengekalkan khidmatnya musim depan.

Oleh itu, khidmat Luqman Hakim boleh dimanfaatkan apabila bakatnya masih boleh digilap sekaligus mampu digunakan dalam melonjakkan lagi kedudukan Terengganu FC musim depan.

Aset Luqman Hakim yang mempunyai kaki kanan yang mampu menjaringkan gol dari luar kotak selain kelajuannya dalam membawa bola ke dalam kotak penalti lawan pasti memberikan ancaman yang lebih baik kepada skuad Sang Penyu.

Namun, timbul persoalan apabila nama penyerang, Wan Rizal Ghazali yang bermain untuk Terengganu FC II dikatakan bakal dibawa masuk untuk menambah baik kemampuan jentera serangan pasukan itu musim depan.

4. Kedah Darul Aman FC

Kehilangan tonggak pasukan dan jadual yang padat menyebabkan skuad Sang Kenari bergelut dalam saingan liga musim ini selepas berjaya mencapai kegemilangan pada musim-musim terdahulu.

Kesukaran untuk menggilirkan pemain menyebabkan mereka kelihatan tidak cergas dalam menuruti pendekatan yang cuba diterapkan Aidil Sharin Sahak sehingga mereka berada di kedudukan ketujuh dalam liga.

Di saingan Piala AFC pula, kemaraan mereka diakhiri dengan memalukan selepas tumpas kepada pasukan Indonesia, PSM Makassar di peringkat separuh akhir zon ASEAN.

Perkara ini pasti membuka mata pihak pengurusan untuk bertindak dengan lebih cekap dalam jendela perpindahan supaya prestasi mereka kembali pulih musim depan.

Ketumpulan bahagian serangan pasti diberikan tumpuan apabila mereka hanya berjaya menjaringkan 19 gol setakat ini, satu rekod yang lebih corot berbanding pasukan-pasukan lain di liga itu.

Penambahan Luqman Hakim dalam skuad ini dilihat mampu menambah peluang jentera serangan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meskipun perkara itu seperti satu perjudian.

Namun, sekiranya langkah ini dapat direalisasikan, pihak pengurusan sepertinya menunjukkan cita-cita dan kesungguhan mereka dalam membawa semula kejayaan ke Stadium Darul Aman.

Persoalannya, mampukah Luqman Hakim tertarik akan keadaan semasa pasukan ini yang sedang bergelut selain tidak berpotensi untuk bermain di pentas Asia musim depan?

5. Johor Darul Takzim

Meskipun destinasi ini kelihatan tidak relevan dan sukar direalisasikan, JDT merupakan satu-satunya pasukan yang mampu membayar gaji tinggi yang diminta Luqman Hakim.

Pasukan yang tidak asing lagi dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air mula mendapatkan nama di pentas antarabangsa menerusi proses komersialisasi dan kerjasama bersama pasukan-pasukan Asia dan Eropah.

300517123_2373942132769072_5583116217604374020_n

Di manakah Bergson bakal bermain musim depan? — Facebook/Johor Southern Tiger

Oleh itu, perkara itu mampu membantu dalam proses rundingan dalam membawa pemain muda itu kembali beraksi di Liga Super dalam usaha mendapatkan minit-minit permainan.

Di samping itu, kontrak pemain import, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri masih tidak terjawab apabila pemain itu mula dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab di rantau Asia.

Selain itu, Luqman Hakim juga pasti tidak akan melepaskan peluang untuk beraksi bersama pasukan Harimau Selatan ini apabila dominasi mereka dalam liga sukar dicabar pasukan-pasukan lain.

Kehadiran JDT di saingan Liga Juara-Juara AFC juga mampu menjadi tarikan utama dalam menambah pemain yang pernah beraksi di Eropah ini ke dalam pasukan yang serba lengkap ini.

Tetapi, persoalan masih timbul apabila pasukan ini gemar untuk mendapatkan khidmat penyerang import yang sering menunjukkan kemampuan mereka dalam memacu JDT di pentas Asia.

Mampukah Luqman Hakim menunjukkan belangnya yang tersendiri sehingga mampu menarik perhatian ketua jurulatih, Hector Bidalgo bagi mendapatkan khidmatnya musim depan? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram