JOHOR Darul Takzim (JDT) berjaya menebus kekecewaan tumpas 0-5 ketika menentang kelab gergasi Jepun, Urawa Red Diamonds dalam aksi Liga Juara-Juara Asia pada minggu lalu, apabila menang mudah ke atas Melaka United FC (MUFC) dalam saingan Liga Super pada Isnin.
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, dekat Iskandar Puteri, Johor pada Isnin, skuad Harimau Selatan berjaya membelasah skuad Hang Tuah, dengan kemenangan 4-0.
Menerusi perlawanan itu, ramai penyokong bola sepak tanah air kagum dengan kebolehan penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva yang berjaya menyumbang gol hatrik pada minit ke-33, 42 dan 85.
Satu lagi gol JDT dicetak oleh Fernando Forestieri pada minit ke-13.
Antara aksi Bergson menentang MUFC pada Isnin. — Facebook/JDT
Tampil mengulas mengenai persembahan Bergson, penyokong setia JDT, Daniel Farish menyifatkan pemain berasal dari Brazil itu sebagai seorang yang berkaliber dan genius dalam menghasilkan gol, yang mana pasukan yang melepaskannya dianggap rugi.
"Saya rasa penyokong dan peminat akan mohon TMJ (Tunku Mahkota Johor) untuk mengekalkannya bagi beberapa musim lagi. Semoga berjaya JDT," katanya.
Selain dibanjiri dengan komen pujian dan tahniah, aksi Bergson yang sudah dapat menghidu gol juga menjadikan penyokong teruja.
Tengku Izzat menulis: "Bergson membuat hantaran dan melakukan gerakan seperti mesin. Sebab tu dia dapat peluang gol."
Shuk Mohamad berkata: "Bergson jaringkan tiga gol. Memang terbaik, mantap dan padu. Inilah JDT."
Dien Adien menambah: Harap pihak JDT sambung khidmat Bergson. Dia pemain yang ada jiwa bantu pasukan dari segi quality skill dan teamwork semua pemain."
Difahamkan, kontrak Bergson bersama JDT akan tamat pada 30 September 2022.
Pemain berusia 31 tahun itu setakat ini telah bermain bersama JDT sebanyak 48 perlawanan dan menjaringkan gol sebanyak 51 kali dengan 11 bantuan gol (assist).
Musim ini, Bergson merupakan penjaring gol terbanyak Liga Super dengan 17 gol dan telah mencipta empat assist.
Berdasarkan statistik semasa, beliau juga pemain terbaik di JDT yang telah banyak membantu pasukan itu melakar sejarah baharu layak secara merit ke peringkat 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Asia musim ini.
Kemenangan ke atas Melaka United pada Isnin menyaksikan JDT kekal di tangga teratas Liga Super, dengan mengumpul 41 mata, selepas merekodkan 13 kemenangan daripada 15 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram