BARU-BARU ini, dunia bola sepak tempatan tertumpu kepada gol hatrik yang disumbangkan oleh penyerang import berbisa Johor Darul Takzim, Bergson da Silva ketika menentang Melaka United (MU) FC.
Namun, di sebalik kemenangan 4-0 JDT ke atas Melaka dalam aksi Liga Super itu, majoriti penyokong Harimau Selatan khabarnya tidak boleh berhenti memikirkan atau belum 'move on' tentang hala tuju penyerang berbisa tersebut selepas ini.
Hal ini kerana, timbul desas-desas mengatakan bahawa kontrak penjaring gol terbanyak di Liga Malaysia (Liga M) bersama JDT itu bakal ditamatkan pada September.
Bergson berjaya menyumbang gol hatrik pada Isnin lalu. — Facebook/ JDT
Cuma pada masa sama, bukan masa depan Bergson sahaja yang menjadi buah mulut penyokong, malah seorang lagi tonggak import JDT, Leandro Velasquez disebut-sebut bakal mengalami nasib sama.
Difahamkan, kontrak pemain tengah JDT itu dijangka ditamatkan pada 30 November 2022.
Berdasarkan rekod terkini, pemain berusia 33 tahun itu telah membuat penampilan sebanyak 19 perlawanan, dengan empat jaringan gol serta enam bantuan gol pada musim ini.
Selain itu, keseluruhan minit permainan yang dikumpul oleh Leandro ketika bersama JDT pada musim ini adalah sebanyak 1,558 minit. Ini termasuk dalam perlawanan kompetitif iaitu Liga Super dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Malah, Leandro juga telah membuat 67 penampilan bersama skuad utama JDT, menjaringkan 21 gol dan 16 bantuan gol sejak 2018 hingga 2022.
Sebelum ini, rakan sepasukan beliau seperti Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera juga ditamatkan kontrak secara tiba-tiba, dengan alasan atas masalah tertentu sekali gus menimbulkan tanda tanya ramai penyokong JDT.
Justeru, penyokong berharap agar kontrak Leandro tidak ditamatkan, sebaliknya dilanjutkan selama satu atau dua musim lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram