Lupakan Hadi dan Luqman, ini 3 alasan kukuh anak jati Kelantan layak sarung jersi Harimau Muda


  • Podium
  • Rabu, 13 Jul 2022

Allee Putra pernah mendapat tawaran ke AS selepas hampir setengah tahun berkelana di Malaga City FC. — Astro Awani

SELAIN dua pemain Harimau Muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsudin yang sedang berkelana di luar negara, Allee Putra Azril juga diam-diam semakin cemerlang sepanjang menimba ilmu di Sepanyol.

Anak jati Bachok, Kelantan itu mungkin kurang dikenali seperti Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim, tetapi Allee Putra merupakan pemain yang semakin menjadi topik bualan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Malah, ada juga yang mencadangkan agar pemain berusia 17 tahun itu dipanggil menyertai skuad muda negara susulan kekurangan bintang muda dan kehadirannya pasti akan membawa impak kepada pasukan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Allee Putra juga sentiasa bersedia untuk menyertai skuad Harimau Muda sekiranya mendapat panggilan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beikut merupakan tiga alasan kukuh kenapa FAM perlu memangil Allee Putra bagi menyarung jersi skuad muda negara;

ALLE 2

Allee mendapat tajaan pada 2020 yang membolehkannya sertai Malaga City FC. — Astro Awani

1) Pengalaman berguru di Akademi Malaga City

Pemain muda berbakat negara itu mendapat tajaan pada 2020 yang mana membolehkan Allee Putra menimba ilmu dan mengambil pengalaman dengan salah satu akademi Sepanyol, Malaga City FC.

Allee Putra mendapat tajaan daripada sebuah syarikat firma arkitek terkemuka R2 Architect Sdn Bhd apabila firma tersebut akan membiayai segala kos semasa itu berada di Sepanyol.

Selain menjalani latihan berintensiti tinggi bersama Malaga City FC, pengalamannya beraksi dengan kelab-kelab besar La Liga (Liga Sepanyol) boleh diguna pakai sekiranya Allee Putra dipanggil memperkuatkan skuad muda negara.

Bukan hanya berlatih bersama kelab itu, Allee Putra turut berpeluang beradu kekuatan dengan barisan pemain skuad Bawah 17 tahun Sepanyol dalam satu perlawanan persahabatan.

2) Perkuatkan pasukan muda negara

Kegagalan Harimau Muda dalam Piala AFF B-23 di Kemboja, temasya Sukan SEA Vietnam dan Piala Asia B-23 di Uzbekistan mendapat kritikan negatif daripada penyokong yang jelas tidak berpuas hati dengan mutu barisan pemain muda negara.

ALLEE

Pemain muda itu pernah beraksi menentang pasukan Atletico Madrid B-17 Tahun. — Stadium Astro

Disebabkan itu, Allee Putra sememangnya layak menyarung jersi Harimau Muda apabila dia berjaya membuktikan kemampuannya menjadi antara 14 pemain terbaik Akademi Malaga City FC sehingga ditawarkan biasiswa penuh bagi musim 2022-2023.

Malah, posisi Allee Putra sebagai pemain tengah juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya jika pemain lain seperti Mukhhairi Ajmal, Nur Azfar Fikri dan Nik Akif mengalami sebarang kecederaan.

Selain itu, prestasi dan kemahiran, terutama dari aspek fizikal, mental dan teknik kawalan bola bersama barisan pemain di Malaga City FC juga boleh membantu Allee Putra jika diserapkan ke skuad Harimau Muda.

3) Timba pengalaman bersama pemain Malaysia

Jika Allee Putra dipanggil FAM, ia juga menjadi pengalaman pertamanya bermain dan menimba pengalaman bersama pasukan pelapis negara yang mana boleh juga menjadi batu loncatan agar dirinya semakin dikenali oleh penyokong.

Dengan usianya yang baru mencecah 17 tahun, Allee Putra juga berpeluang cerah menjadi prospek masa depan yang boleh menggantikan Syafiq Rahim, Baddrol Bakhtiar dan Natxo Insa.

Justeru, pemain muda yang turut mendapat jolokan Allee Sanchez itu akan menjadi kerugian buat FAM jika tidak memanggilnya sertai pasukan muda negara.

Pada masa sama, Allee Putra juga pernah mendapat tawaran ke Amerika Syarikat (AS) selepas hampir setengah tahun berkelana di Malaga City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram