KHABAR angin mengenai hala tuju penjaring Brazil, Bergson da Silva selepas kontraknya bersama pasukan Johor Darul Takzim tamat penghujung musim ini jelas menjadi topik perbualan hangat di media sosial.
Mana tidaknya, pemain berusia 31 tahun berkenaan merupakan pemain paling digeruni pasukan lawan setiap kali tampil sebagai mesin gol buat pasukan Harimau Selatan.
Berdasarkan rekod cemerlang di JDT, Bergson telah mewakili pasukan itu dalam 48 perlawanan dengan jumlah jaringan sebanyak 51 gol dan 11 bantuan gol setakat ini.
Kini, Bergson menghuni tangga teratas sebagai penjaring gol terbanyak di Liga Malaysia (Liga M) dengan 17 gol untuk musim 2022 dan telah membantu pasukan itu melakar sejarah baharu di Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 pada musim kali ini dengan melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik di Asia.
Di atas kertas, sudah pasti setiap pasukan mahu menggunakan khidmat Bergson agar dapat melonjakkan lagi kedudukan mereka di liga musim depan terutama apabila saingan bakal menjadi semakin sengit dengan 18 pasukan dan 34 perlawanan.
Ini termasuklah pasukan yang berada di kedudukan keempat Liga Super setakat ini, Terengganu FC (TFC) yang memasang impian untuk pergi lebih jauh musim depan.
Namun, terdapat beberapa faktor yang harus dipertimbangkan TFC sebelum mengambil keputusan membeli atau meminjam pemain tersebut pada musim hadapan.
Berikut merupakan tiga sebab TFC tidak patut mendapatkan khidmat Bergson musim depan:
Faisal masih lagi berteka-teki tentang hala tujunya pada musim hadapan. — Bernama
1.Gaji yang mahal
Mengikut laman web antarabangsa Transfermarket, Bergson dinilaikan pada harga €400,000 (RM17.8 juta) berdasarkan penilaian terhadap kontrak dan usianya.
Walaupun dengan harga tersebut, tidak pasti lagi bahawa Bergson mampu menyesuaikan diri dengan taktikal dan corak permainan di bawah kendalian ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain.
Berbanding mendapatkan khidmat Bergson, lebih baik sekiranya TFC cuba menggunakan dana tersebut untuk menambat hati pemain sayap mereka, Faisal Halim yang masih mempertimbangkan hala tujunya pada musim depan.
Pemain lincah berusia 24 tahun itu mengakui telah 'dipancing' pasukan Selangor FC, namun masih mahu melihat tawaran yang diberikan TFC serta jurulatih yang mengendalikan pasukan itu musim depan.
Setakat ini, Faisal dinilaikan pada harga €250,000 (RM 1.1 juta) dan ini menjadikannya pelaburan yang lebih berbaloi, jika dinilai berdasarkan usia dan keserasiannya bersama TFC.
Fazli Ghazali harus dinaikkan pangkat ke kesebelasan utama TFC. — Facebook/ TFC
2. TFC ada 'ubi muda' bermutu
Jika penyerang yang dicari TFC, nama pemain TFC II, Wan Fazli Wan Ghazali seharusnya berada di dalam senarai ekoran prestasi cemerlangnya pada saingan Liga Perdana musim ini.
Fazli Ghazali yang kini bermain untuk skuad TFC II semakin mendapat tempat di hati penyokong terutamanya selepas aksi cemerlangnya menyumbangkan gol buat pasukan itu sewaktu aksi menentang Kelantan FC dalam saingan Liga Perdana pada 21 Ogos lalu.
Pemain berusia 25 tahun itu menjadi penjaring tunggal TFC II dan sekali gus berjaya membantu pasukannya untuk menyamakan kedudukan sehingga keputusan akhir mencatat seri 2-2 sewaktu menentang Kelantan.
Prestasi cemerlang Fazli Ghazali terserlah setelah pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali memberi peluang kepadanya untuk mengetuai jentera serangan pasukan tersebut.
Ini berlaku semenjak pemain Ghana, Jordan Mintah berhijrah ke Kuala Lumpur City FC sebagai pinjaman pada Jun lalu.
Oleh itu, bayangkan potensi yang mampu ditonjolkan Fazli Ghazali sekiranya diberi peluang untuk bermain bersama skuad utama?
Bergson sudah bersama JDT secara tetap sejak musim 2021. — Facebook/ JDT
3. Bergson mungkin 'tumpul' bila berdepan JDT
Bergson telah bersama JDT sejak musim 2021 dan sepanjang dua tahun, pasti banyak kenangan terbina bersama pasukan Harimau Selatan itu rentetan kejayaan yang dicapai bersama pasukan berkenaan.
Bergson sebelum itu dipinjamkan selama empat bulan daripada kelab Brazil, Fortaleza.
Sedikit sebanyak, kesetiaan terhadap pasukan lama pasti ada. contohnya seperti yang menimpa pemain senior Sabah, Badrol Bakhtiar yang seakan-akan hilang fokus ketika beraksi menentang bekas pasukannya, Kedah pada saingan Liga Super, 17 Ogos lalu.
Bermain menentang bekas rakan sepasukan merupakan satu aspek profesional yang perlu ditelan pemain bola sepak, namun aspek ini perlu diambil kira pihak pengurusan TFC.
Jika situasi ini berlaku, sudah pasti merugikan pasukan TFC lebih-lebih lagi apabila JDT merupakan pencabar terkuat dalam saingan Liga M.
Jadi, peminat TFC agak bimbang sekiranya Bergson berdepan masalah ketumpulan penyudah setiap kali berdepan JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram