KEKALAHAN Melaka United FC (MUFC) kepada pendahulu liga, Johor Darul Takzim 0-4 dalam saingan Liga Super pada Isnin bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Malah, skrip tersebut menepati ramalan kerana kelebihan sememangnya berpihak kepada pasukan Harimau Selatan yang menjadi pasukan tuan rumah.
Tambahan, skuad bimbingan Hector Bidoglio sedang mencari ruang untuk menunjukkan taringnya setelah dimalukan di pentas antarabangsa dengan kekalahan 0-5 di tangan pasukan Jepun, Urawa Red Diamonds.
Sementara, pasukan MUFC sedang bergelut dengan masalah gaji yang sudah tentu sedikit sebanyak meruntuhkan moral dan semangat pemain untuk berhabis-habisan.
Kesannya, empat gol dibolos oleh mesin gol JDT iaitu Fernando Forestieri pada minit ke-13 dan gol hatrik Bergson da Silva pada minit ke-33, ke-42 dan ke-85.
Kesebelasan utama yang diturunkan bagi menentang JDT. — Facebook/ MUFC
Ramalan tentang kekalahan serta kekalahan itu sendiri tidak mengecewakan peminat skuad Hang Tuah yang sanggup turun ke stadium lawan untuk memberikan sokongan.
Namun, mereka agak terkilan dengan tindakan pasukan MUFC yang terus masuk ke bilik persalinan tanpa berjumpa dengan mereka usai perlawanan pada Isnin itu.
"Kami datang juga malam ni beri sokongan moral buat pemain. Tetapi lepas perlawanan, pemain terus menuju masuk bilik persalinan tanpa beri tepukan untuk penyokong Melaka," kata Jalutraider Lerq Telekop.
"Betul bang, kita tunggu sampai habis. Semua masuk dalam dan tak keluar lagi dah," sambung Nazzarul Hafizuddin.
"Perghhh... pahit beb. Fans patut kau utamakan," kata Serr Anddy Rolex.
Alim Noah berkata: "Mungkin banyak yang bermain di fikiran mereka. Biar sahajalah." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram