TMJ bersuara isu tunggakan gaji Sarawak United FC


  • Podium
  • Rabu, 31 Ogos 2022

TMJ mengambil berat masalah isu tunggakan gaji yang dihadapi Sarawak United FC ketika ini.

"BAYAR gaji." Demikian komen ringkas yang ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) di ruangan Instagram @officialsarawakutdfc.

Terdahulu, laman Instagram itu memuat naik gambar Stadium Sarawak di Kuching, Sarawak pada Selasa (30 Ogos).

"Selamat pagi, semoga semua urusan kita dipermudahkan dan berjalan lancar," tulis kapsyen gambar tersebut.

Posting gambar berkenaan kemudian menarik perhatian Tunku Ismail menggunakan akaun rasmi @hrhcrownprinceofjohor dengan komen berbunyi 'bayar gaji'.

Akaun itu kemudian membalas komen TMJ dengan menulis, "Memang tengah diusahakan Tuanku."

Komen Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Takzim (JDT) secara jelas merujuk masalah dalaman Sarawak United FC yang dihimpit kemelut tunggakan gaji.

Skuad Ngap Sayot berdepan isu tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan pegawai, barisan kejurulatihan dan barisan pemain termasuk tonggak importnya, Boris Kok.

Pasukan The Crocs itu kemudian diberi tempoh 14 hari untuk melangsaikan masalah tunggakan gaji berkuat kuasa 27 Ogos lalu.

TMJ SUFC

Tangkap layar komen TMJ di Instagram Sarawak United FC. — Instagram

"Seandainya gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil di mana kemungkinan slot bertanding di Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan," kata Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataan.

Terdahulu, MFL sudahpun mengambil langkah proaktif bagi membantu meringankan beban pemain Sarawak United dengan menyalurkan RM100,000 kepada pemain pasukan yang diambil daripada hak penyiaran mereka.

Sebagai rekod, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan mengenai tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan pemain Sarawak United sehingga ada pemain dihalau dari tempat tinggal.

Menerusi satu kenyataan media, PFAM mengakui sudah mengeluarkan dua notis kepada Sarawak United.

Jelas PFAM, walaupun ada pergerakan pembayaran dilakukan, ia tidak dibayar secara penuh seperti mana nilai yang dijanjikan dalam kontrak setiap pemain.

Bagaimanapun, Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais mengesahkan pengurusan pasukan terbabit akan menyelesaikan semua tunggakan gaji selewat-lewatnya minggu depan.

Posa berkata, peruntukan untuk pembayaran gaji termasuk yang tertunggak sudah diluluskan beberapa hari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram