'Sudah muak, baik Melaka United kekalkan pemain lokal saja'


  • Podium
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Melaka United hanya menampilkan seorang pemain import ketika berdepan JDT. — Facebook/Melaka United Football Club

PERSEMBAHAN tidak bersemangat yang ditampilkan pemain Melaka United FC ketika berdepan cabaran Johor Darul Takzim (JDT) berakhir dengan kekalahan yang memalukan buat skuad kendalian Asri Ninggal.

Mereka yang berdepan konflik di luar padang berikutan isu pengurusan dan tunggakan gaji seakan sukar untuk menunjukkan rentak permainan dalam usaha menyekat serangan pasukan Harimau Selatan yang bertubi-tubi.

Permainan yang sebelum itu dicemari cemuhan dan kritikan terhadap kesungguhan pemain daripada penyokong skuad Hang Tuah menjejaskan lagi semangat dan moral mereka dalam usaha membaiki semula kedudukan dalam carta liga.

Barisan pemain yang diturunkan ketua jurulatih itu turut mengundang pelbagai reaksi apabila hanya seorang pemain import yang diturunkan pengendali sementara itu bagi menghadapi pemegang takhta Liga Super itu.

Pemain tengah berasal dari Brazil, Adriano diberi tugasan untuk mengawal rentak permainan daripada bahagian tengah dalam usaha menembusi barisan pertahanan JDT.

Namun, aksi pemain itu tidak bertahan lama selepas dia dikeluarkan pada minit ke-39 perlawanan bagi memberi peluang kepada pemain sayap kanan, Syahrul Azrawi.

Selain itu, kehilangan Sonny Norde dan Ifedayo Olusegun dalam perlawanan ini jelas memberi kesan kepada pergerakan setelah tanggungjawab untuk mengetuai serangan yang dilancarkan pasukan hanya digalas penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha.

298463005_460949399221119_3627829028612417289_n

Ketiadaan Ifedayo merencatkan jentera serangan Melaka United FC Facebook/Melaka United Football Club

Ketiadaan Justin Baas yang juga tidak bersama skuad ketika turun ke SSI juga menyebabkan benteng pertahanan mereka tempang dalam menghentikan serangan yang dilakukan gandingan berbahaya JDT, Bergson da Silva dan Fernando Foriesteri.

Pendekatan yang diambil Asri sepertinya tidak berkesan dalam perlawanan itu, sekaligus akan menambah minyak ke dalam api kemarahan yang dirasakan para penyokong MUFC.

Namun, kisah sebaliknya berlaku apabila terdapat penyokong yang melihat pendekatan itu sesuai dalam memberi peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi bersama pasukan di Liga Super.

Penyokong bola sepak tempatan, Lihin Leman berkata, pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan perlu memilih untuk meningkatkan penglibatan pemain tempatan dalam pasukan MUFC musim depan.

"Saya tidak meminta lebih, cuma saya berharap pihak kejurulatihan untuk membawa masuk lebih ramai anak jati negari berbanding berharap kepada pemain import.

"Ini disebabkan kos untuk membawa masuk dan membayar gaji pemain ini akan memberi tekanan kepada kestabilan kewangan Melaka United yang tidak berada di tahap terbaik ketika ini," katanya.

Walau bagaimanapun, penyokong ini turut berharap ketua jurulatih pasukan ini dapat digantikan dengan individu yang lebih berpengalaman meskipun daripada negara luar.

"Kalau boleh, saya cuma mahu melihat pengendali yang dibawa dari luar negara, contohnya dari Jepun atau Korea Selatan sementara Asri dikekalkan sebagai penolong ketua jurulatih," katanya.

Jospin Maliukudi Jospin turut memuji keputusan ketua jurulatih itu apabila menurunkan 10 pemain kelahiran negara meskipun memahami ancaman yang diberikan pihak lawan.

"Saya berikan pujian kepada kejurulatihan Melaka United kerana bermain dengan hanya seorang pemain import, namun masih mempunyai peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Zizan Ayoy juga berkongsi pendapat yang sama apabila keputusan untuk memberikan minit-minit permainan kepada pemain tempatan adalah satu langkah yang baik.

"Selepas ini, saya berharap pemain-pemain yang diturunkan akan kekal dalam skuad. Pemain-pemain import tidak diperlukan dalam skuad ini, pemain tempatan mempunyai semangat juang yang berbeza," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Hang Tuah kekal di tangga kelapan Liga Super setelah mencatatkan enam kekalahan dan hanya mampu memperolehi lima mata daripada lima perlawanan terakhir mereka.

Pasukan itu selepas ini bakal menghadapi cabaran finalis Piala FA 2022, Terengganu FC pada Sabtu ini bagi merebut slot untuk layak ke saingan Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram