Zamsaham buru anak jati, perkuat Kelantan FC


  • Podium
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Kelantan FC sedang dalam usaha merebut gelaran juara Liga Perdana musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

STRUKTUR baharu yang diperkenalkan perbadanan Malaysia Football League (MFL) bermula musim depan bakal menyaksikan sebanyak 18 pasukan bakal berentap bagi menjuarai Liga Super.

Oleh itu, kelab-kelab yang bertanding pasti akan memastikan mereka bersedia apabila mereka perlu mengharungi 34 perlawanan sepanjang musim berbanding 22 aksi ketika ini.

Di samping menekankan latihan untuk meningkatkan tahap kecergasan, barisan kejurulatihan dan pihak pentadbiran kelab pasti akan mencari peluang untuk menambah baik kualiti pemain yang mereka miliki.

Antara pasukan yang semestinya bersungguh-sungguh memastikan skuad mereka dilengkapi pemain yang layak dan berkaliber adalah Kelantan FC yang tidak bersabar-sabar untuk beraksi di liga domestik teratas itu.

Pasukan yang sedang berada di tangga kedua Liga Perdana ini boleh dikatakan seperti bangkit daripada kejatuhan setelah terpalit pelbagai isu termasuk kewangan dan tunggakan gaji sebelum ini.

Di bawah kendalian pemilik, Norizam Tukiman atau juga dikenali sebagai Zamsaham, The Red Warriors (TRW) mula menunjukkan peningkatan ketara, baik dari segi persembahan di atas padang mahupun di peringkat pengurusan.

Selain seakan berjaya menempatkan diri dalam 18 pasukan yang bakal bersaing dalam Liga Super musim depan, ahli perniagaan ini turut mendedahkan bahawa keuntungan berjaya diraih menerusi pelaburan dan prestasi yang baik.

300835684_7907886859281752_3073587643808321965_n

Penyokong Kelantan FC mampu tersenyum semula selepas bertahun-tahun dikecewakan. Facebook/TRW Kelantan FC

Oleh itu, tumpuan pasti diberikan kepada pasukan TRW ini dalam melihat individu yang bakal dibawa masuk dalam meningkatkan kebolehan mereka secara keseluruhan.

Namun, Zamsaham mempunyai pendekatan yang tersendiri untuk memperbaiki pasukan itu secara mendalam selain memastikan setiap sasaran yang diletakkan pasukan pantai timur itu berjaya dicapai.

"Pihak pengurusan berminat untuk membawa masuk pemain-pemain kelahiran Kelantan yang sedang bermain di kelab-kelab Liga Malaysia bagi menambah baik pasukan.

"Cuma walaupun ada juga anak jati Kelantan yang memang berminat untuk menyertai kami, perbincangan mengenai gaji antara kedua-dua pihak masih perlu dilakukan kerana ia adalah satu perkara yang perlu diselesaikan," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, dia juga berkata, pemain import juga diperlukan untuk mengharungi musim yang lebih mencabar selain pengalaman yang mereka miliki mampu memacu Kelantan FC.

"Setakat ini, kami sedang mencari pemain import yang sesuai, tetapi saya masih belum boleh memberikan senarai pendek pemain yang kami mahu kerana masih terlalu awal.

"Tetapi, insya-ALLAH, selepas tamat dua perlawanan liga ini, kami akan maklumkan pemain-pemain itu kerana kami memang mahu mendapatkan mereka dengan awal," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram