"Yang akan beli saham lima peratus (5 %) The Red Warriors (TRW) Berhad pada harga RM3,000,000 adalah betul orang Kelantan, tetapi bukan Puan Bibi Ramjani (Ilias Khan)," demikian kenyataan yang dimuat naik Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan nama Zamsaham di laman Facebooknya.
Kenyataan itu dimuat naik setelah nama bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu giat diperkatakan sebagai calon misteri yang membuat pemohonan tersebut.
Ura-ura itu diperkuatkan dengan kehadiran Bibi di Stadium Sultan Muhammed IV bagi menonton aksi Liga Perdana antara Kelantan FC dan Kuching City FC pada 31 Julai lalu.
Rata-rata penyokong menghidu potensi kerjasama antara Norizam dan Bibi yang diramalkan akan memantapkan lagi kekuatan kelab tersebut.
Bagaimanapun, harapan penyokong TRW lebur apabila Norizam menepis dakwaan bahawa dia akan bekerjasama dengan Bibi dengan pecahan saham sebanyak 70 peratus dan 30 peratus seperti yang dicanang di media sosial.
Zamsaham memberi petunjuk bahawa pemilik tersebut merupakan peminat yang masuk ke stadium sejak usia enam tahun. — Facebook/ TRW
Kini, sekali lagi dakwaan penglibatan Bibi ditepis dan Norizam terus membiarkan penyokong berteka-teki tentang insan misteri yang menurutnya akan diumumkan apabila tiba masanya nanti.
"Orang yang beli saham 5% adalah orang Kelantan yang meminati bola sepak dari kecil. Masuk ke stadium dari umur enam tahun, dibawa oleh arwah ayahnya.
"Maka, insan ke tersebut bukan Aliff Syukri dan bukan Neelofa. Dan yang pasti bukan Ibrahim Ali, pembeli saham 5% peminat bola Kelatan sejati," katanya.
Rayyan Bergson menambah: "Kalau bukan Puan Bibi... mesti Datuk Sri Vida, tak pun Tan Sri Anuar Musa kan bro Zam? Tanya sahaja."
"Buka saham untuk orang awam bos Zam. Orang awam boleh melabur RM100 hingga RM200. Minima RM20. Hujung tahun bagi dividen. Rakyat Kelantan ni ramai. Makin ramai yang sertai makin banyak dana pelaburan," kata Suhaimi Mohamad Nasir.
"Tuanku Sultan Kelantan ke? Allahuakbar!," teka Nik Paming. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram