Nasib di TRW masih samar, Zubir dedah belum berhajat gantung but


  • Podium
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Zubir hampir bersara sebelum TRW membuat keputusan untuk menggunakan khidmatnya musim ini. — Instagram/ Zubirazmi1616

STATUS bekas ketua pasukan Kelantan, Zubir Azmi masih lagi menjadi tanda tanya setelah dia memberikan bayangan bahawa dia seakan-akan dianaktirikan pasukan The Red Warriors (TRW).

Menerusi ask me question di akaun Instagram peribadinya, Zubirazmi1616, pemain berusia 30 tahun tersebut juga tidak lagi mahu dipanggil sebagai kapten TRW.

Pada Mac lalu, Zubir direhatkan pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya selama sekurang-kurangnya enam bulan ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Disoal mengenai keadaan kecederaan itu, Zubir mengakui dia kini sudah boleh melakukan lambungan bola menggunakan kakinya itu.

Zubir turut mendedahkan bahawa dia tidak boleh 'buka mulut' mengenai statusnya sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan pihak terlibat.

Sebagai rekod, Zubir yang sebelum ini bersama Sabah FC hampir menggantungkan but bagi memberikan tumpuan penuh kepada keluarga, sebelum akhirnya mendapat tawaran daripada Kelantan FC untuk beraksi pada baki saingan Liga Perdana, musim ini.

Antara tangkap layar interaksi antara Zubir dan penyokong TRW menerusi ciri ask me question Instagram.

Apabila ditanya sama ada dia akan bersara sekiranya kontrak bersama TRW tidak disambungkan, Zubir akui masih ingin beraksi di atas padang.

"Belum gantung but lagi. InsyaAllah tahun depan masih boleh main," tulisnya kepada Majoriti beserta emoji senyum.

Zubir sebelum ini pernah mencuri tumpuan dan merupakan antara watak penting dalam skuad negara selain pernah menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan dalam aksi Piala AFF Suzuki 2012 dan 2014. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram