PERSAINGAN untuk menjuarai Liga Perdana musim ini semakin sengit apabila Johor Darul Takzim (JDT) II mencatatkan kemenangan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Khamis malam.
Kemenangan yang dilakar hasil jaringan Levy Madinda dan Junior Estdal ketika berdepan pasukan Projek FAM-MSN itu meletakkan mereka di kedudukan teratas liga.
Keputusan itu turut menyebabkan Kelantan FC, yang sebelum ini menduduki tangga teratas jatuh ke tempat kedua, sehingga menyebabkan ramai penyokong The Red Warriors (TRW) gusar akan kemampuan pasukan kesayangan mereka.
Ketika ini, kedua-dua pasukan terikat dengan jumlah kutipan mata dengan 36 dan hanya dibezakan dengan perbezaan gol yang berpihak kepada JDT II.
Meskipun Kelantan FC sepertinya sudah layak untuk beraksi di Liga Super musim depan berikutan perubahan struktur liga, mereka pasti mahu menamatkan kempen berharga ini dengan satu trofi untuk dipamerkan.
Bagi JDT II pula, mereka juga pasti mahu menghampakan penyokong dan pasukan TRW apabila mereka sebelum ini dimalukan dalam perlawanan pembukaan liga di laman sendiri.
Jaringan Levy Madinda dan Junior Estdal memastikan kemenangan bergaya buat JDT II. — Instagram/Johor Souther Tigers
Kemenangan yang dicatatkan Kelantan FC dalam permainan itu seperti satu lonjakan semangat buat pasukan kendalian Rezal Zambery Yahya apabila mereka terus menunjukkan prestasi menyerlah sepanjang musim.
Bagi JDT II pula, walaupun kempen musim ini bermula dengan langkah kiri, mereka tidak gentar menunjukkan kemampuan tersendiri dengan menunjukkan kecemerlangan bergaya dengan memperoleh kemenangan demi kemenangan.
Persoalannya, siapakah yang mampu membawa pulang trofi berharga ini apabila kedua-dua mereka hanya berbaki dua perlawanan dalam usaha memenangi takhta berharga itu.
Bagi JDT II, barisan bintang-bintang yang mampu menyinar di semua posisi menjadikan mereka sebagai pasukan yang lebih hampir dengan kejuaraan musim ini.
Dalam lima perlawanan terakhir, anak buah Mariano Echeverria ini hanya dibolosi sekali yang menunjukkan kehebatan barisan pertahanan mereka.
Tidak cukup dengan itu, barisan serangan mereka turut menunjukkan taring apabila berjaya menjaringkan tujuh gol dalam perlawanan tersebut, yang memacu mereka ke kedudukan pertama dalam liga.
Namun, mereka berdepan ujian getir yang bakal menyaksikan mereka menerima kunjungan Terengganu FC II sebelum menentang Selangor FC II bagi perlawanan penutup tirai musim ini.
Terengganu FC II, yang menduduki tempat ketiga, pasti memberikan saingan sengit kepada JDT II apabila mereka sebelum ini mencatatkan kemenangan ketika pertembungan kedua-dua pasukan di awal musim.
Bagi Kelantan FC pula, mereka mempunyai baki perlawanan yang sedikit mudah apabila mereka hanya akan berdepan pasukan bergelut, Selangor FC II dan Kelantan United FC yang menduduki tempat kelima.
Namun, perkara itu pasti tidak akan memberi kelegaan apabila mereka tidak berada dalam prestasi yang terbaik menuju penghujung musim ini.
Kekalahan yang dicatatkan semasa menerima kunjungan Perak FC merencatkan rentak yang mereka miliki dalam usaha untuk menamatkan kempen 2022 dengan satu trofi.
Selain itu, mereka sekadar mampu mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan sebelum ini menentang Terengganu FC II meskipun sudah mendahului dua gol.
Kepulangan Nurshamil Abd Ghani membaiki barisan serangan Kelantan FC bagi baki musim ini — Instagram/TRW Kelantan FC
Tetapi, kepulangan Nurshamil Abd Ghani bagi meningkatkan kemampuan barisan serangan pasti akan disenangi para penyokong TRW apabila penyerang berbisa itu tidak lagi dilanda kecederaan.
Nurshamil, yang menjaringkan lapan gol, pasti mendahagakan lebih banyak gol dalam usaha memburu gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana apabila penyerang Kuching City FC, Abu Kamara berada di carta teratas dengan 10 gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram