Kalau ada tawaran tepat, saya akan lepaskan — Zamsaham


  • Podium
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Nurshamil (kanan) ketika menjaringkan gol Kelantan FC ketika bertemu JDT II — Facebook/TRW

PRESTASI cemerlang yang ditonjolkan Kelantan FC dalam saingan Liga Perdana musim ini sememangnya menunjukkan kebolehan mereka sebagai salah satu pasukan yang lengkap dalam semua posisi.

Kecemerlangan itu dapat diterjemahkan apabila kelab pantai timur ini sedang menduduki tempat kedua dengan pasukan tempat teratas, Johor Darul Takzim (JDT) II hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Walaupun kecemerlangan ini dicapai oleh semangat berpasukan dan juang yang tinggi, penyokong Kelantan FC telah menamakan beberapa pemain sebagai ayam tambatan buat skuad yang bertungkus-lumus mengejar slot ke Liga Super musim depan.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai pemain tumpuan adalah penyerang tempatan berusia 27 tahun, Nurshamil Abd Ghani yang berjaya menyerlahkan kebolehannya dalam saingan Liga Malaysia.

Pernah bermain untuk Melaka United FC dan Penang FC, Nurshamil berjaya mendapatkan rentaknya setelah berada di bawah didikan Rezal Zambery Yahya.

Dalam 16 perlawanan Liga Perdana yang telah diharungi, pemain kelahiran Melaka ini berjaya menyumbangkan lapan gol menerusi kemampuannya untuk menyudahkan hantaran rakan sepasukan.

Perkara ini pastinya menaikkan lagi 'sahamnya' apabila hanya pemain PJ City FC, Darren Lok sebagai penyerang tempatan yang menjaringkan lebih banyak gol berbanding Nurshamil di saingan liga domestik.

1684289

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman

Melihat kepada perkara itu, pihak pengurusan pasti bersungguh-sungguh untuk memastikan pemain berjersi no.19 ini untuk kekal, lebih-lebih lagi untuk berdepan saingan Liga Super musim depan yang semakin sengit.

Namun, bagi pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, dia tidak akan bertindak untuk menyekat perpindahan buat Nurshamil sekiranya terdapat tawaran yang sesuai.

"Kita faham yang Nurshamil masih terikat dengan kita melalui kontrak. Tetapi, jika ada mana-mana kelab yang mahu membayar nilai perpindahan Nurshamil, kita tidak akan bertindak menyekat pemergiannya," katanya kepada Majoriti.

Katanya, perkara itu dilihat mampu memberikan faedah kepada kedua-dua pihak sekiranya kontrak antara mereka dilihat dengan teliti.

"Dalam kontrak Nurshamil dengan Kelantan FC, kita ada klausa 70-30, jadi jika sekiranya sesebuah parti mahu membayar sehingga RM1juta misalnya, kita akan memberikan dia RM300,000," katanya.

Jelas Norizam, dia percaya dengan barisan kejurulatihan dan pengurusan TRW untuk melahirkan bakat atau mencari pemain yang sesuai dengan gaya permainan yang dipraktikkan.

"Saya lihat, orang ramai perlu fahami bahawa Kelantan FC merupakan pasukan yang menggilap bintang. Jadi, sekiranya dahulu Nurshamil pun tidak menyerlah di pasukan lain, kebolehannya menyinar semula sepanjang berada di bawah Kelantan FC," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram