Penyokong tak sabar, yakin TRW mampu 'menggapai langit'


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Semangat dan keazaman para pemain TRW memberi kegembiraan terhadap para penyokong kelab itu — Facebook/ TRW Kelantan FC

KECEMERLANGAN yang ditunjukkan Kelantan FC dalam saingan Liga Perdana musim ini memberi semangat membara kepada para pemain dan penyokong pasukan itu setelah bertahun disajikan kehampaan.

Pasukan yang sebelum ini sering kali terpalit dengan isu kewangan dan tunggakan gaji mula menonjolkan prestasi dan corak permainan yang cemerlang di atas padang beberapa musim kebelakangan ini.

Anak buah Rezal Zambery Yahya ini menunjukkan semangat juang tersendiri untuk melayakkan diri bagi bersaing di Liga Super musim hadapan setelah hanya mampu menduduki tangga keenam buat dua musim berturut-turut.

Namun, dengan kesungguhan dan sikap cermat yang dipraktikkan pihak pentadbiran, kelab ini mula mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah sebuah pasukan bola sepak Malaysia yang diuruskan dengan rapi.

Ini dapat dilihat apabila The Red Warriors (TRW) ketika ini menduduki tangga teratas Liga Perdana dengan hanya dua permainan berbaki selain hanya mencatatkan dua kekalahan setakat ini.

Tidak cukup dengan itu, pemilik, Norizam Tukiman, atau dikenali Zamsaham juga mengumumkan bahawa pasukan itu berjaya mencatatkan keuntungan Julai lalu selepas berulang-kali bergelut dengan masalah ekonomi.

kelantan fc main

Skuad TRW menerima sokongan padu daripada penyokong sepanjang musim ini.

Semangat ini pasti mahu dibawa ke musim hadapan apabila rata-rata penyokong mula bersikap optimis dengan kemampuan para pemain serta keazaman yang ditunjukkan para pemain serta seluruh pihak pengurusan.

Seorang penyokong bola sepak tempatan, Muhammad Fikri Mustafa berkata, persiapan dan segala aspek pengurusan yang ditonjolkan pasukan itu memberikan semangat untuk menyaksikan TRW beraksi musim depan.

"Tak risau dengan persiapan TRW, para pemain semestinya bersemangat depan dengan pengurusan yang tersusun, hala tuju yang jelas dan pasti beraksi lebih baik berbanding musim ini," katanya.

Roslan Lan pula berkata, tahap kesiapsiagaan dipamerkan Kelantan FC untuk menghadapi Liga Super yang lebih mencabar menunjukkan keazaman untuk membawa semula tahun-tahun kegemilangan ke Stadium Sultan Muhammad IV.

"Tahniah Zamsaham, persediaan yang lebih awal untuk pasukan. Ini barulah cara mengurus kelab yang terbaik.

"Terima kasih Tuan, kita pun sebagai penyokong rasa terharu kerana mempunyai pengurusan macam Zamsaham ni," katanya.

Bagi Rokok Saat, prestasi yang ditunjukkan ketika ini diharap mampu dikekalkan selain memastikan prestasi dapat dibawa ke tahap yang lebih baik.

"Terima kasih Tuan Norizam. Saya harap bola sepak di Kelantan terus maju dan in shaa-ALLAH, kita dapat bermain di tahap yang lebih tinggi selepas ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram