Bukan satu, tapi 5 kelab bakal pencabar JDT musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

JDT dijangka akan terus menjadi kuasa utama Liga Super untuk musim depan. — Facebook/Johor Southern Tigers

KEDUDUKAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super tahun ini nampaknya begitu sukar untuk digugat.

Ketika ini, pasukan milik Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu kekal mendahului liga dengan 38 mata dan berkelebihan dua perlawanan.

Memasuki hujung saingan liga musim ini, beberapa pasukan lain nampaknya sudah mula merencanakan strategi untuk musim depan.

Berikut, Majoriti senaraikan lima pasukan yang berpotensi menjadi pesaing JDT berdasarkan rekod prestasi semasa masing-masing dalam liga musim ini:

299764690_1531362893961053_9142686398148342889_n

Terengganu FC (TFC)

Menduduki tangga keempat dalam Liga Super, tidak dinafikan pasukan kendalian Nafuzi Zain pernah goyah di pertengahan musim ini.

Namun, menuju ke penghujung liga, TFC mula menunjukkan belang dengan pemain sensasi, Faisal Halim mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

DNA yang diterapkan Nafuzi juga sudah meresap dalam pasukan sehinggakan penyokong meminta supaya ketua jurulatih itu dikekalkan sekurang-kurangnya untuk musim depan.

298291828_465475632127603_8868536835314276448_n

Negeri Sembilan FC (NSFC)

Tiada harapan besar diletakkan untuk NSFC dalam saingan liga musim ini tetapi kesemua pemain telah memberikan yang terbaik sehingga pasukan itu berada di tangga ketiga Liga Super setakat ini.

Prestasi yang dipamerkan NSFC cukup baik dengan rekod lima perlawanan apabila hanya mencatatkan satu kekalahan.

Pemain yang dimiliki pengendali NSFC, K Devan cukup serasi untuk musim ini namun pasukan itu juga perlu bersedia terutamanya selepas ada pemain utama pasukan itu yang dilaporkan sudah diintai kelab lain musim depan.

300792366_7904836156253489_2177034515540171751_n

Kelantan FC

Pasukan milik Zamsaham atau nama sebenarnya, Norizam Tukiman banyak mencatatkan perkembangan yang positif.

Selain berjaya daripada segi pengurusan dan kewangan, kedudukan Kelantan FC yang berpotensi cerah menjadi juara Liga Perdana juga membuktikan kemampuan pasukan itu.

Jika Kelantan mampu meningkatkan lagi aksi permainan mereka, tidak mustahil pasukan itu mampu bersaing dengan lawan di Liga Super termasuk mencabar JDT.

299530299_3313488068898303_2823513347389839954_n

Sabah FC

Siapa sangka pasukan Sabah FC mampu duduk di tempat kedua di bawah JDT dalam Liga Super setakat ini. Malah, pasukan itu tidak kalah dalam lima perlawanan sebelum ini.

Kehadiran pemain seperti Amri Yahyah, Badrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali serta ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee antara yang berjaya menaikkan skuad Sabah FC.

Sabah FC hanya perlu mengisi beberapa lagi ruang kosong dalam pasukan terutamanya di bahagian serangan dan boleh menjadi pencabar utama JDT musim depan.

294520280_5448659145177195_6286336721499954388_n

KL City FC

Menjadi pasukan tunggal yang mewakili negara dalam saingan di peringkat antarabangsa, sememangnya semangat pasukan ini sedang membara.

Skuad kendalian Bojan Hodak ini juga mempamerkan aksi yang baik dalam Liga Super dan berjaya berada dalam kelompok enam teratas.

Pemain muda yang dimiliki KL City FC juga sudah mula menunjukkan kematangan dalam saingan liga musim ini dan pastinya akan terus memberi saingan untuk musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram