SEBUAH penerbangan dari Manchester, England menuju ke Rhodes, Greece terpaksa dialih arah ke Munich, Jerman setelah salah seorang penumpang mengamuk dan memukul seorang pramugara penerbangan tersebut.
Wanita beruban dalam lingkungan usia 70-an itu dilaporkan marah selepas permintaannya untuk mendapatkan arak jenis champagne percuma ditolak.
Dia kemudiannya dikatakan telah memesan gin dan tonik yang dirampas semula oleh kru kabin, selain terus bersikap agresif terhadap kru penerbangan.
Sebuah video dirakam penumpang lain yang turut berada dalam penerbangan itu menyaksikan wanita tersebut cuba ditenangkan oleh salah seorang pramugara.
Pramugara berkenaan bertindak duduk di sebelah wanita itu, sebelum akhirnya bangun apabila wanita itu bertindak agresif dan memukulnya di kepala.
Dalam pergelutan tersebut, kepala wanita warga emas itu terhantuk pada loker atas kepala dan itu membuatkannya lebih agresif apabila memukul pramugara berkenaan di muka.
Wanita itu turut dilaporkan memaki hamun dan cuba membuka pintu kabin pada pertengahan penerbangan sebelum dua penumpang lelaki lain terpaksa menahannya.
Seorang penumpang yang tidak mahu dikenal pasti mendakwa, wanita tersebut turut kencing atas kerusi penumpang sebelum dibawa keluar oleh sembilan polis di Jerman.
"Wanita itu asyik minta pramugara dan pramugari untuk memberinya champagne secara percuma.
"Pihak penerbangan menerangkan bahawa perkhidmatan itu tidak termasuk dalam servis mereka dan dia akhirnya membeli gin dan tonik.
"Dia kencing atas tiga kerusi dan sentiasa bertindak ganas sehingga pihak penerbangan terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Munich, Jerman.
"Apabila sampai di Munich, dia telah dibawa pergi dari kapal terbang oleh sembilan polis dan sebuah ambulan serta pegawai bomba. Kami pula terkandas di Jerman selama dua jam," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram