Arif Aiman 'mendonia', lagi 'scout' luar negara puji ubi muda JDT


  • Podium
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Arif Aiman tersenarai antara lima pemain yang mencipta peluang terbanyak di pusingan peringkat kumpulan ACL dengan 11 peluang direkodkan. — Facebook/ Johor Southern Tigers

PERSEMBAHAN Johor Darul Takzim (JDT) di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 baru-baru ini tetap mendapat perhatian walaupun tewas 0-5 kepada Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama, Tokyo, Jepun.

Prestasi pemain sayap lincah Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi bersama JDT pada pertandingan bertaraf antarabangsa itu antara yang mendapat perhatian pencari bakat (scout) bebas berpangkalan di Eropah.

Arif Aiman sememangnya sudah berada dalam radar sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat yang berpangkalan di Sepanyol selain dikaitkan dengan kelab liga Jepun.

Sebelum ini, jika laman Twitter We Are Scouting memuji skil dan kelebihan yang dimiliki Arif Aiman, terbaharu, laman Twitter R.D Football Scout pula menulis mengenai pemain kelahiran negeri Pahang itu.

arif1

Tangkap layar ciapan R.D Football Scout tentang fakta menarik Arif Aiman. — Twitter

“Secara peribadi, saya jarang dengar mengenai pemain dari Malaysia.

"Tetapi, Arif Aiman adalah seorang pemain sayap kanan berusia 20 tahun yang beraksi bersama JDT – kelab terbesar di Malaysia.

“Dia amat pantas, lincah, seorang pemain yang memiliki kemahiran menggelecek berkualiti, pencipta jaringan melalui hantaran lintang, dan turut komited ketika fasa bertahan.

"Sangat menarik!" katanya dengan menyelitkan emoji bintang yang mungkin memberi bayangan Arif Aiman berpotensi menjadi pemain handalan dunia pada masa depan.

Selain R.D Football Scout, penampilan Arif Aiman dturut mendapat perhatian seorang lagi pemantau bakat bebas dipercayai berpangkalan di Perancis.

arif3

Arif Aiman berkongsi tempat dengan Maxine Lestienne dan Ken Iwao masing-masing dengan 11 peluang. —Twitter/ ACL 2022

Menggunakan nama @ekraas42, dia membuat perkongsian tentang bagaimana Arif Aiman mampu meletakkan diri di posisi yang betul untuk menerima bola sekali gus melakukan ancaman kepada lawan melalui posisi sayap.

Kemampuan Arif Aiman untuk melakukan larian dan hantaran lintang berbahaya untuk rakan sepasukan menghasilkan jaringan turut disertakan.

Bukan sahaja bijak ketika bola di kaki, kemampuan pemain itu untuk melakukan pressing dan menutup ruang untuk tidak membenarkan pasukan lawan memulakan gerakan dari bawah turut menjadi perhatian @ekraas42.

Bagi musim ini, Arif Aiman tersenarai antara lima pemain yang mencipta peluang terbanyak di pusingan peringkat kumpulan ACL dengan 11 peluang di belakang Cleiton (16) dan Bruno Lamas (23). Dua pemain lain ialah Maxime Lestienne dan Ken Iwao masing-masing dengan 11 peluang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram