TULAR di laman Twitter apabila seorang wanita memuat naik hantaran mendakwa abangnya telah dianiaya oleh pihak polis berikutan kes kemalangan yang tidak menyebelahi pihak yang betul.
Kemalangan itu difahamkan berlaku di Kampung Batu 1, Jalan Jerantut-Temerloh, Pahang, apabila kenderaan jenis 4WD Ford Ranger yang dipandu abangnya didakwa telah dirempuh kenderan polis secara tiba-tiba dari arah belakang.
Wanita itu yang dikenali sebagai lizzy mendakwa, kejadian itu bukannya berpunca daripada kecuaian abangnya, tetapi pihak polis yang sepatutnya dipersalahkan kerana cuai ketika dalam pemanduan.
Menurutnya, ketika itu abangnya ingin memasuki simpang ke kanan dan telah memberikan signal isyarat terlebih dahulu namun keretanya dirempuh van polis walhal kenderaan lain di belakangnya sebelum itu telah memotong dengan selamat.
"Abang saya nak masuk simpang ke kanan dan yang penting dah bagi signal, dua kereta lain di belakang dah ke kiri sebab nak potong.. tak sempat sampai ke garis putus-putus dah kena langgar.
"Stereng tak dapat nak kawal dan kereta abang saya terus terbabas ke kanan, nasib baik jalan seberang tak ada kereta masa tu kalau ada kereta nauzubillahiminzalik keadaan abang saya," dakwanya di Twitter.
Tersentak dengan pelanggaran itu, kedua buah kenderaan itu dilaporkan berhenti di tepi jalan dan kemudiannya bergerak ke balai polis Temerloh untuk urusan laporan kemalangan dan siasatan lanjut.
Namun begitu, setibanya di balai anggota polis yang terlibat dikatakan enggan melihat sebarang bukti yang dikemukakan oleh mangsa meskipun rakaman dashcam kenderaan jelas menunjukkan situasi sebenar yang berlaku.
"Sampai balai masuk pejabat sarjan, tapi sarjan tu mati-matian tak nak tengok rakaman dari dashcam dengan alasan van polis tu pun ada dashcam.
"Abang saya bertekak la dengan sarjan tu untuk minta ambil tindakan tapi kesudahannya dia suruh cari peguam dan lawan di mahkamah.
"Tak mahu panjang cerita sampai naik mahkamah, abang saya pun tuntutlah insuran sendiri," dakwanya.
Tambahnya lagi, abangnya yang sepatutnya memulakan perniagaan bulan ini terpaksa menangguhkan hasratnya itu gara-gara tidak mempunyai kenderaan lain.
Namun beberapa hari kemudian, abangnya menerima surat saman sekali gus menimbulkan kemarahan abangnya kerana isu itu sepatutnya tidak berlarutan hingga ke kes saman.
"Saya daripada pihak keluarga ingin tahu kenapa surat saman masih dikeluarkan terhadap abang saya walaupun polis yang langgar belakang kereta abang!" katanya.
Setakat ini masih tiada sebarang laporan lanjut diterima daripada wakil keluarga mangsa dan Majoriti sedang menunggu maklum balas pihak polis berkaitan kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram