SEORANG tukang jahit di Kota Kinabalu, Sabah, mampu berbangga kerana hasil tangannya mendapat sambutan hangat ketika bulan kemerdekaan.
Norhayati Ajirul, 49, berkata, permintaan terhadap pakaian tradisional untuk tahun ini melebihi permintaan yang pernah diterima sepanjang lapan tahun dia berkecimpung dalam perniagaan tersebut.
"Saya menerima banyak pesanan berbanding sebelum ini, bahkan ia melebihi permintaan sebelum wabak Covid-19," katanya.
Menurut Norhayati, dia terkejut kerana menerima kira-kira 80 tempahan untuk bulan Ogos sahaja.
“Ada tempahan yang diterima datang dari daerah Tawau dan Ranau. Bahkan saya turut menerima tempahan dari Kuala Lumpur," katanya.
Norhayati yang berasal dari Kudat berkata, sebagai pemilik perniagaan, dia juga bergelut dengan kekurangan permintaan sejak dua tahun lalu namun, bersyukur kerana keadaan semakin pulih.
“Perniagaan kembali seperti biasa dan saya amat bersyukur. Semasa bulan Pesta Menuai pada Mei lalu, saya mendapat hasil jualan berjumlah kira-kira RM15,000.
“Itu kebiasaannya apabila ramai yang menempah pakaian tradisional kumpulan etnik masing-masing,” kata Norhayati, yang juga menjahit baju kurung untuk Hari Raya.
Selain itu, Norhayati turut mendapat tempahan daripada pakaian tradisional etnik Sabah untuk majlis perkahwinan.
Dia dibantu dua pekerja iaitu seorang penjahit pakaian dan seorang lagi penjahit manik. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram