Budak perempuan maut, jatuh balkoni tingkat 9 di Cheras


  • 112
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur lima tahun itu terjatuh dari balkoni dapur rumahnya di Flat Sri Sabah. — Facebook/Komuniti Cheras

SEORANG kanak-kanak perempuan maut dipercayai terjatuh dari balkoni tingkat sembilan di perumahan Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata, laporan berkaitan kejadian diterima kira-kira pukul 11.54 pagi daripada orang awam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berumur lima tahun itu terjatuh dari balkoni dapur rumahnya.

"Ibu dan adik mangsa berada di rumah ketika kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu.

"Bagaimanapun ibu mangsa tidak menyedari mangsa berada di dapur rumah ketika itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa yang dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) oleh ibunya bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram