MEMPAMERKAN aksi yang cemerlang buat Terengganu FC dan skuad kebangsaan, tidak hairan jika nama Faisal Halim menjadi buruan banyak kelab.
Sehingga kini, Selangor FC antara pasukan yang diakui pemain sayap itu cuba memancingnya untuk beraksi bagi saingan liga musim depan.
Namun, Faisal mengakui dia belum membuat sebarang keputusan sebaliknya mahu memberi fokus kepada saingan akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT).
Faisal Halim mengakui ada menerima tawaran dari Selangor FC. — Bernama
Seorang penyokong TFC, Mat Jenin menganggap apa sahaja keputusan Faisal Halim mempunyai kaitan dengan pengendali pasukan itu sekarang, Nafuzi Zain.
"Musim ini adalah musim yang getir buat Nafuzi. Dia perlu capai KPI yang diletakkan pengurusan. Andainya dia berjaya capai, kedudukannya mungkin kekal bersama TFC.
"Kalau tidak, terserah kepada pengurusan mahu mengekalkannya atau tukar jurulatih," katanya.
Penyokong mahu Faisal Halim kekal bersama TFC.
Perkara itu menurut Mat Jenin mempunyai kaitan dengan kontrak Faisal kerana pemain itu sudah cukup selesa di bawah Nafuzi.
Malah jelasnya, di bawah Nafuzi juga pemain berusia 24 tahun itu berjaya meningkatkan prestasinya sehingga dia mendapat peluang untuk mewakili negara.
"Dengan jurulatih baharu, mungkin Faisal akan nilai dahulu betul-betul. Sebab dia nak jaga potensi untuk bermain di peringkat antarabangsa. Dia ada sasaran juga," katanya.
Jelasnya, tidak perlu gelabah dengan sebarang tawaran oleh Selangor FC kerana apa yang berlaku kini seperti ada orang yang cuba mengeluarkan semula isu ini untuk mengganggu fokus TFC untuk perlawanan akhir Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram