MAIN kutu merujuk kepada sekumpulan individu menyumbang wang dalam kadar sama setiap bulan.
Undian akan dilakukan untuk menentukan siapa berhak menerima duit kutu yang dikumpulkan itu secara bergilir-gilir.
Namun lain pula kisah yang menimpa Nurrul Mohd Noor yang telah ditipu seorang wanita yang kononnya memainkan peranan sebagai penganjur kutu atau ibu kutu.
Katanya, dia mula menyertai permainan kutu sejak Jun lalu dan ini kali pertama berdepan dengan masalah tersebut.
"Saya tertarik dengan tawaran yang dipromosikan oleh 'ibu kutu' yang dikenali sebagai Aida E***.
"Setiap ahli kutu dalam kumpulan tersebut akan menerima 'free cash' bila sampai giliran masing-masing.
"Free cash ini berupa hadiah wang tunai sebagai ganti duit kutu, macam bonus.
"Kalau kita masuk dalam kumpulan kutu itu, Aida turut menjanjikan extra cash.
"Contoh saya bagi RM5,000, nanti Aida akan bagi duit lebih tapi saya pun tak pasti lebih duit itu berapa banyak," katanya kepada Majoriti.
Jelas Nurrul lagi, masalah mula timbul bila wanita itu secara tiba-tiba menghilangkan diri.
"Pada masa yang sama, ramai mangsa sudah mula bersuara dan menularkan gambar Aida.
"Bukan saya seorang sahaja mangsa, ramai lagi sebenarnya,"
Nurrul berkata, dia mula menyertai permainan kutu sejak Jun lalu.
Menurut Nurrul lagi, wanita itu masih lagi belum membayar wang sebanyak RM1,000 miliknya.
"Mangsa-mangsa yang lain ini ada group WhatsApp, tapi saya mengambil pendekatan tak nak besar-besarkan perkara itu.
"Saya dah hubungi Aida dan meminta dia pulangkan wang itu secara baik.
"Saya faham keadaan dia banyak hutang pada orang ramai. Bukan saya seorang yang kena dan harap dia bayar.
"Kalau paksa sekalipun, saya nampak bukannya dia mampu bayar lepas tu kita pulak yang putih mata tadi," katanya.
Mangsa mendakwa, ibu kutu kini tidak dapat dihubungi dan menghilangkan diri.
Dalam perkembangan lain, seorang wanita yang dikenali sebagai Ainur Idrus bertindak menularkan gambar Aida.
"Semakin hari semakin bertambah hutang kau pada kami, pengiraan terkini hampir dalam RM20,000.
"Ini belum kira lagi dari mangsa lain, RM80 pun kau tak mampu nak bayar.
"Aku kasihankan rakan-rakan yang lain. Ada yang datang dari Selangor sanggup turun Perlis sebab nak cari A**a.
"Bukan dapat duit, apa pun tak ada," tulisnya.
Tambah Ainur lagi, bapa kepada suspek telah menghubunginya dan berjanji akan membayar semua duit yang telah dilaburkan.
Difahamkan,wanita terbabit telah menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi sejak sebulan lalu sehingga mangsa-mangsa terpaksa mengambil keputusan untuk menularkan gambarnya di sosial media.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram