KEMELUT gaji yang melanda Sarawak United FC (SUFC) akhirnya terungkai apabila Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain kelab itu.
Malahan, pemain tengah Ngap Sayot, Boris Kok juga akhirnya membuka mulut mengenai isu tersebut selepas kehilangannya menjadi tanda tanya sejak awal bulan lalu.
Menurut Boris, keadaan sememangnya susah buat semua pemain walaupun mereka bersikap profesional dalam setiap perlawanan dengan memberikan yang terbaik.
Boris Kok kali terakhir dilihat beraksi untuk SUFC ketika menentang Melaka United pada Jun lalu.
"Tiada duit untuk bayar rumah, bayar makanan, bayar duit kereta dan menyediakan kelengkapan keluarga.
"Semua pemain sengsara tetapi kami tidak beritahu kepada media kerana sayangkan Sarawak United dan penyokongnya.
"Kami sudah bersabar kerana kelab berjanji untuk membayar (gaji) sejak tiga bulan lalu setiap kali perlawanan selesai. Tetapi akhirnya tak kunjung tiba dan situasi bertambah buruk," katanya.
Mengulas mengenai dirinya pula, Boris berkata, situasinya berbeza kerana kelab memberinya masa selama dua minggu pada Julai untuk ke Perancis kerana kelahiran anaknya.
Poster yang dimuat naik Boris Kok selepas isu gaji pemain SUFC tidak dibayar didedahkan.
Jelasnya, semasa di Perancis, selepas tiga bulan tidak dibayar gaji, dia boleh membatalkan kontrak dengan undang-undang FIFA dan pulang semula ke Kemboja kerana dia dipinjamkan.
"Pengurusan kelab berbincang dan saya buat keputusan untuk memberi peluang kerana hormat kepada penyokong SUFC.
"Sejak perlawanan dengan Kedah, mereka berjanji untuk membayar tiket penerbangan pulang bagi menyertai perlawanan dengan JDT, Penang FC, Terengganu FC dan PJ City.
"Malangnya, mereka tidak berbuat apa-apa dan memberitahu yang saya boleh terus berada di Perancis sehingga masalah saya boleh diselesaikan," katanya.
Tambah Boris, buat masa sekarang, Presiden kelab berjanji akan menyelesaikan masalah ini dalam masa dua minggu dan dia berharap perkara itu dapat dikotakan demi masa depan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram