PENINGKATAN usia dan prestasi yang semakin malap penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Farizal Marlias kebelakangan ini menyebabkan segelintir penyokong mahu kedudukannya sebagai pemain berjersi no.1 ditamatkan.
Dalam usaha menggantikan pemain veteran berusia 36 tahun ini, beberapa calon telah disebut-sebut dengan melihat kepada kemampuan dan kebolehan masing-masing.
Salah satu nama yang sering dikaitkan dengan khabar angin tersebut adalah penjaga gawang Negeri Sembilan FC, Syahmi Hazmi yang mula menempa namanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Selain baru berusia 26 tahun, pemain kelahiran Kelantan ini menunjukkan kemampuannya pada musim ini apabila hanya dibolosi 14 kali iaitu rekod paling cemerlang musim ini.
Tidak cukup dengan itu, Syihan juga memastikan persembahannya cemerlang dalam setiap perlawanan apabila dia cuba mengekalkan rekod tanpa bolos paling banyak dan berjaya mengharungi enam perlawanan tanpa tewas di gawang setakat ini.
Namun, segelintir penyokong JDT menolak untuk mendapatkan penjaga gawang itu apabila mereka merasakan terdapat beberapa kekurangan akan kebolehannya.
1. Kerap membuang masa
Syihan sering melengahkan masa ketika pertemuan antara JDT dan Negeri Sembilan FC pada Mei lalu membuatkan penyokong menolak ura-ura menamakannya sebagai pengganti Farizal Marlias.
Dalam perlawanan tersebut, Syihan telah membuang masa hampir lima minit ketika permainan masih terikat tanpa jaringan meskipun masih berbaki 20 minit permainan.
Perkara ini pastinya menyebabkan rasa tidak menyenangkan dalam kalangan penyokong sendiri dan lawan yang membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman kerana ia dilihat telah mengganggu rentak permainan.
"Seriuslah JDT mahu ambil Syihan? Lebih baik sekiranya mereka beri peluang kepada penjaga gol simpanan, Haziq Nadzli.
"Aku tak sanggup untuk lihat seorang penjaga gol yang kerap buang masa sehingga dimarahi penyokong sendiri dan lawan," kata Zulkifli Mohamed.
"Buang masa sahaja ambil penjaga gol yang gemar melengahkan masa permainan ini. Penjaga gol lain yang turut disasarkan adalah pilihan lebih baik," kata Fordee Mordee.
2. Ifwat Akmal dalam radar
Bagi menggantikan Farizal Marlias, penyokong JDT pasti mahu mencari pemain yang mempunyai rekod cemerlang selain memiliki pengalaman di peringkat kelab dan antarabangsa.
Oleh itu, sesetengah daripada mereka juga berminat sekiranya pasukan itu mendapatkan khidmat penjaga gawang Kedah Darul Aman FC, Ifwat Akmal.
Pada usia 26 tahun, Ifwat sering berada di prestasi terbaik meskipun kelab tersebut dilanda ketidak tentuan beberapa musim sebelum ini.
Pengalaman Ifwat Akmal sebagai penjaga gawang merupakan salah satu aset penting yang dimilikinya. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Selain itu, Ifwat juga dilihat sebagai pemain yang mampu bermain dalam perlawanan getir apabila pernah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2017.
Bagi Tarmizi Solusi, kemampuan dan pengalaman yang pernah ditimba Ifwat mampu memberi kelebihan kepadanya untuk menjadi benteng terakhir pertahanan JDT.
"Ifwat pun bagus rasanya melihat kepada pengalaman yang dia peroleh dan pernah beraksi di peringkat antarabangsa," katanya.
Perkara itu turut dipersetujui Rudy Azhar yang melihat pengalaman penjaga gol ini adalah aset yang berharga sekiranya JDT berjaya mendapatkan khidmatnya.
"Pengalaman Ifwat ini luas di pentas perlawanan akhir Piala FA 2017 dan 2019. Satu kerugian sekiranya tidak disenaraikan untuk mendapatkannya musim depan," katanya.
3. Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi tersedia
Meskipun terdapat beberapa cadangan untuk mendapatkan pemain baharu, penyokong JDT masih percaya akan kemampuan penjaga gol simpanan, Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi.
Dalam beberapa siri permainan yang diwakili antara pemain ini, mereka sering menunjukkan prestasi dan persembahan yang cemerlang sehingga menarik perhatian penyokong.
Misalnya, persembahan Haziq Nadzli ketika saingan Liga Juara-Juara AFC menentang Ulsan Hyundai membuka mata akan kemampuan penjaga gawang berasal dari Selangor ini.
Bagi Izzat Mr Za, kemampuan penjaga gol pilihan ketiga itu tidak wajar dipandang rendah hasil daripada kecemerlangannya dalam permainan tersebut.
"Tidak perlu rasanya untuk mendapatkan khidmat penjaga gol baharu, bukankah JDT memiliki Haziq Nadzli yang menunjukkan kebolehannya ketika menentang Ulsan sebelum ini?" katanya menerusi Twitter.
Penyokong JDT melihat Izham Tarmizi mampu menjadi penjaga gol utama sekiranya Farizal Marlias meninggalkan kelab itu. — Facebook/Johor Southern Tigers
Zul Sue pula melihat keberadaan kedua-dua pemain ini perlu dimanfaatkan juara Liga Super lapan kali berturut-turut ini.
"Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi sudah bertahun-tahun berada di kem latihan JDT, apa salahnya sekiranya dia dinaikkan sebagai antara penjaga gol selepas ini?" katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram