ISU tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan Sarawak United kini heboh diperkatakan di media sosial.
Lebih menyentuh hati, pemain dikhabarkan terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis bagi mengosongkan kediaman kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab pada Jun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), pembayaran dilakukan namun ia tidak dilunas sepenuhnya seperti mana nilai yang dijanjikan dalam kontrak setiap pemain.
Isu tunggakan gaji ini bukanlah isu terpencil kerana perkara sama pernah berlaku pada pasukan Perak yang dikenakan pemotongan sembilan mata musim ini kerana gagal melunaskan gaji kepada pemain pada tempoh yang ditetapkan.
Bagaimanapun, tiada Liga Perdana mulai musim depan dan enam pasukan utama daripada Liga Perdana akan membentuk 18 pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super 2023, manakala bakinya iaitu pasukan ‘feeder club’ akan beraksi dalam Liga Simpanan yang bakal ditubuhkan.
Perubahan ini membuatkan pemotongan mata tidak lagi cukup untuk 'menghukum' pasukan yang liat membayar gaji kepada pemainnya.
Tangkap layar poster #solidaritiuntukpemain yang dikeluarkan PFAM.
Susulan itu, Datuk Dr. Pekan Ramli berpendapat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) seharusnya membekukan pasukan-pasukan yang terlibat dalam isu pemberian gaji tersebut.
"Pasukan-pasukan yang diulit masalah gaji ini patut menjadi perhatian MFL. Kalau keadaan mereka masih tidak berubah, pasukan-pasukan ini harus dibekukan dan dihalang daripada beraksi pada liga akan datang.
"Pengekalan mereka hanya akan memburukkan lagi imej MFL. Lebih-lebih lagi dengan sistem akan datang, pemotongan mata sahaja tidak lagi relevan.
"Kalau potong mata pun, mereka masih bermain di Liga Super. Sepatutnya jika masalah berterusan, satu amaran keras harus dikeluarkan dan siasatan telus harus dijalankan oleh badan-badan yang bertanggungjawab.
"Kita tak nak nanti bila dah keluar isu empat bulan tunggakan gaji, ada pula kenyataan yang mengatakan bahawa sebenarnya hanya sebulan sahaja," katanya kepada Majoriti.
Dalam satu perkembangan lain, presiden kelab Sarawak United, Datuk Posa Majais dalam kenyataan terbaharunya kepada media tempatan mengesahkan kini pasukan tersebut sedang menanggung tunggakan gaji untuk tempoh hampir empat bulan.
Namun pihaknya berjanji akan menyelesaikan semua tunggakan melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan yang dianggarkan sekitar RM2 juta selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram