Anak muda berhibur sampai lupa solat, elok ganti konsert dengan majlis ilmu — Mufti


  • Mukmin
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Jejalah Happier Than Ever, The World Tour oleh Billie pada Khamis lalu. — Agensi

MESKIPUN konsert penyanyi terkenal dunia, Billie Elish yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sudah seminggu berlalu namun sehingga kini ia masih hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain jejalah Happier Than Ever, The World Tour oleh Billie yang diperkatakan, terdapat beberapa konsert lagi bakal menyusul dan kesemua acara itu juga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuklah beberapa tokoh agamawan.

Rata-ratanya mendakwa penganjuran konsert di negara tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada masyarakat dan seperti yang diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, ia hanya membawa kepada pembinaan generasi yang pincang.

Turut mengulas isu berkenaan, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman berkata, daripada menganjurkan pelbagai konsert, adalah lebih baik digantikan dengan majlis ilmu seperti berdakwah.

Menurutnya, penganjuran pelbagai konsert hanya menjauhkan umat Islam dari ALLAH SWT sehingga melupakan tanggungjawab yang utama.

“Kita bukan tolak hiburan. Boleh menyanyi dan bernasyid. Boleh berhibur tapi jangan keterlaluan sampai konsert dua tiga jam. Melupakan tanggungjawab sebagai Islam.

“Utamakan yang utama. Bila konsert dibuat dekat Maghrib. Itu berdosa sebab bila nak solat. Isya hilang, Subuh mungkin hilang sebab konsert. Kita dah ada internet semua, berhibur dari situ saja.

“Anak-anak muda berhibur sampai lupa nak jemaah. Itu merosakkan mereka. Sampai ada yang fikir masjid kolot dan majlis ilmu kolot,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, seorang umat Islam itu sepatutnya mengajak masyarakat lain mendaulatkan Islam dan bukannya menjauhkan diri daripada ALLAH.

Malah baginya tugas mendaulatkan Islam bukan hanya diletakkan dibahu institusi agama namun pemimpin perlu menjadi peranan utama untuk menyeru rakyatnya.

“Kita baru ditimpa musibah Covid-19. Patutnya sebelum datang musibah lagi berat, dekatkan diri dengan ALLAH. Istighfar, berdakwah. Ajak orang supaya lebih beriman. Itu asasnya.

“Orang kadang-kadang lupa tugas sebagai Islam. Macam Rasulullah tugas baginda adalah mengajak orang mendaulatkan Islam.

“Tugas ini bukan sahaja tertumpu dengan orang ramai tetapi pemimpin-pemimpin juga. Kadang-kadang seruan itu tidak dibuat oleh pemimpin dan menyebabkan orang bawahan fikir kerja ini dibuat oleh orang tertentu seperti institusi agama. Tapi hakikatnya semua memainkan peranan,” katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram