Kes 1MDB: Najib ke Mahkamah Tinggi esok


Najib akan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. — Bernama

SELEPAS dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri prosiding kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah guna kuasa untuk meminda laporan audit 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, prosiding diadakan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pada Jumaat, Najib akan mengikut prosiding kes meminda laporan audit 1MDB.

Selain itu, mahkamah telah menetapkan beberapa tarikh lain iaitu 2 September serta 21, 25 dan 28 Oktober untuk meneruskan perbicaraan.

Dalam kes itu juga, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Najib daripada tindakan tata tertib, sivil atau jenayah. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram