Isu warga asing tangkap ikan secara haram makin menjadi-jadi di Sungai Melaka


  • Massa
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Warga asing semakin bergiat aktif dalam menangkap ikan secara haram di Sungai Melaka. — The Star

DALAM usaha penjimatan wang perbelanjaan makanan, warga asing dilaporkan semakin giat menangkap ikan di kawasan larangan sepanjang Sungai Melaka sekaligus membunuh populasi ikan air tawar di situ.

Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Kon Qi Yao berkata, warga asing dilaporkan tertarik dengan limpahan ikan di sepanjang sungai itu dan akan melakukan perbuatan itu pada lewat malam bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.

“Memancing di sepanjang Sungai Melaka adalah dilarang sama sekali kerana lokasi itu bertujuan sebagai pusat pelancongan dan rekreasi,” katanya.

Kon berkata aktiviti memancing tidak dibenarkan di sepanjang 10 kilometer (km) sungai kerana laluan air di situ digunakan untuk Melaka River Cruise dan aktiviti pelancongan lain.

Bagaimanapun beliau berkata, kekurangan tenaga kerja untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan menyebabkan warga asing semakin rancak membuang pukat sewenang-wenangnya.

“Saya telah kemukakan cadangan untuk meningkatkan rondaan di sepanjang tebing sungai memandangkan jumlah aktiviti tangkapan ikan secara haram semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Kon berkata, terdapat juga gejala membuang spesies ikan yang tidak boleh dimakan di sepanjang tebing sungai dan menyebabkan bau busuk di sekitar kawasan itu.

“Ikan-ikan yang mati ditinggalkan di sepanjang laluan pejalan kaki di tebing sungai,” katanya sambil menambah ada yang sanggup melepasi halangan di tebing sungai untuk memancing di situ.

Ketika ditemui, seorang warga tempatan bernama Micheal Tan, 51, yang sering berjoging di sepanjang sungai berkata, sudah menjadi kebiasaan baginya untuk melihat warga asing menangkap ikan selepas pukul 7.30 malam.

“Lazimnya, tiga atau empat warga asing akan memancing sambil membawa baldi untuk meletakkan hasil tangkapan,” katanya.

Tan berkata, warga asing itu juga bersikap biadab apabila dinasihatkan untuk tidak memancing di sepanjang sungai.

Salah seorang warga asing ketika dinasihati menjawab, tiada siapa yang boleh menghalang mereka menangkap ikan dan mendakwa mereka telah mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.

Dia juga mendakwa perbuatan itu dapat menjimatkan wang dan membolehkan mereka menghantar perbelanjaan kepada keluarga di tanah air bergantung hasil tangkapan yang diperoleh di sepanjang sungai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram