JB catat pengunjung Jelajah 90 Suria paling ramai, lebih 18 artis bakal meriahkan venue terakhir Putrajaya


  • Hiburan
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Barisan penyampai Suria FM bergambar bersama pengunjung yang hadir.

SIRI Jelajah 90 Suria Memang Cantik KAK ELL yang diadakan di Paradigm Mall, Johor Bahru mendapat sambutan paling hebat dengan kehadiran lebih 8,000 penonton.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, jualan barangan eksklusif Suria di booth ‘Kedai Suria’ juga berjaya mengutip hampir RM20,000 sementara jumlah tontonan di platform digital Suria pula mencatatkan lebih 150,000 tontonan sepanjang acara berlangsung.

"Ternyata ini membuktikan empayar Suria FM dalam persada industri radio tanah air semakin kukuh. Malahan jenama ‘Suria’ semakin mendapat kepercayaan bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga di Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Sambutan seumpama ini kami jadikan sebagai kayu pengukur dalam melihat progres serta pencapaian Suria FM. Kejayaan ini mencetuskan inspirasi buat kami di Suria FM agar terus berusaha memberikan yang terbaik buat pendengar setia kami

"Misi terdekat adalah untuk meletakkan Suria FM tersenarai di antara tiga stesen radio bahasa Melayu paling popular dan paling ramai khalayak pendengarnya apatah lagi tahun ini menyaksikan Suria FM bakal menyambut Ulang Tahun Ke-15 penubuhannya pada tanggal 24 November 2022," katanya.

DSC01673

Zamani antara penyanyi yang membuat persembahan.

Selain kehadiran semua barisan penyampai Suria FM, turut hadir ialah penyanyi popular seperti Zamani, Dolla, Yonniboi, Boboy, Siti Nordiana, Nabila Razali dan ramai lagi.

Menurut DJ Lin, siri Jejalah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL juga akan berada di lokasi terakhir pada Sabtu ini di Lower Ground East Court, IOI City Mall, Fasa 2, Putrajaya.

Jelasnya, program yang akan bermula seawal pukul 1 petang itu bakal menyaksikan persembahan lebih 18 artis antaranya, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Imsoniacks, Amir Uk’s, Nuha Bahrin, Naufal Azrin, Muss, Floor 88, Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Iman Troye, Amir Masdi, Farah Rose, kumpulan Juita, Encem Bois, Syeera Aziz, Aiman Zaidi, Hakim Khan, Farra Ahmad, Adzrin, Ahmad Syafiq dan Wawa.

"Selain hiburan, pengunjung turut berpeluang menangi hadiah cabutan bertuah seperti motosikal Modenas MR 3, basikal lipat Dahon Dream 6, barangan elektrik dan juga pakej percutian.

DSC09390

Seorang pengunjung bertuah yang berjaya membawa pulang sebuah motosikal.

"Caranya dengan membeli ‘Barangan Eksklusif Suria’ yang dijual di booth ‘Kedai Suria’ sepanjang konsert berlangsung dengan minima pembelian RM50.

"Pengunjung juga berpeluang memenangi wang tunai dengan menyertai cabutan bertuah bersama KAK ELL dan aktiviti Soal Jawab bersama Celcom, selain sesi istimewa bersama Gintell," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web Suria jelajah.suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram