MUSIM Liga Super tahun ini berbaki lima perlawanan sahaja lagi dan pastinya setiap pasukan sudah mula merencanakan sesuatu untuk tampil lebih baik bagi musim depan.
Tahun ini juga menyaksikan nama penyerang muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman menjadi sebutan penyokong kerana kelicikannya membuka ruang untuk mendapatkan gol.
Namun, di sebalik nama Arif Aiman, ada beberapa lagi nama pemain muda dalam liga tempatan yang dilihat mampu bersinar dan mempunyai potensi untuk mencuri tumpuan penyokong musim depan.
Syahir Bashah (Selangor FC)
Penyokong Gergasi Merah tahun ini nampak begitu marah dengan prestasi semasa pasukan yang tidak menentu.
Malah, Selangor FC yang satu ketika dianggap sebagai antara pengancam utama dalam Liga Super kini menjadi lubuk untuk pasukan lain mencari tiga mata.
Namun, di sebalik prestasi tidak menentu itu, pemain berusia 20 tahun ini pernah dianggap sehebat Arif Aiman.
Malah, beberapa kali beraksi untuk Selangor FC, Syahir berjaya mencuri tumpuan di bahagian sayap.
Walaupun ada kalanya kemampuan Syahir dipertikai, tetapi bakat yang dimiliki berserta dengan usia yang masih muda membuatkan pemain ini masih boleh dibentuk untuk menjadi pemain berbisa.
Alif Zakaria (Terengganu FC)
Berusia 24 tahun, pemain pertahanan Terengganu FC (TFC) ini mempunyai kemahiran untuk mematahkan serangan lawan.
Malah, ketika pasukannya menentang JDT, Alif menjadi individu yang bertanggungjawab mengekang kemaraan Arif Aiman dan berjaya melunaskannya dengan baik.
Sumbangan pemain yang mesra disapa dengan jolokan Matleh membuatkan TFC sekadar tewas 1-2 dan dia dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Untuk musim ini, Alif beberapa kali telah mendapat kepercayaan oleh pengendali TFC, Nafuzi Zain untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.
Dia juga sering menjadi pilihan Nafuzi bagi mengawal benteng kiri pasukan.
Kamil Akmal (Kedah Darul Aman FC)
Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kamil Akmal merupakan 'ubi muda' yang dihasilkan Kedah sejak berusia 19 tahun.
Kamil pernah bersama skuad Kedah bawah 19 tahun (B-19) menjuarai Piala Belia 2017, dan beraksi dalam skuad Piala Presiden KDA FC sebelum menyertai KDA FC bagi musim 2022
Kemasukan pemain itu memberi impak yang positif buat KDA FC terutamanya dalam mengekang serangan di sebelah kanan.
Malah, Kamil juga antara pemain muda yang cukup yakin membantu bahagian serangan dan sering menggelecek bola hingga ke luar kawasannya.
Selain itu, Kamil turut cemerlang membantu Sang Kenari mengutip tiga mata pertama dalam saingan Piala AFC selepas menewaskan pasukan Kaya FC dengan kemenangan besar 4-1 sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram