‘Orang hanya ingat siapa menang final’, Bojan harap KL City tampil tanpa tekanan jumpa PSM Makassar


  • Podium
  • Isnin, 22 Ogos 2022

KL City sudah bersedia untuk berdepan PSM Makassar pada final Piala AFC Zon Asean, Rabu ini. — Facebook/KL City

KL City FC tidak berasakan sebarang tekanan menjelang perlawanan menentang PSM Makassar pada final Piala AFC 2022 bagi Zon Asean pada Rabu ini.

Pengendali skuad Warga Kota, Bojan Hodak berkata, anak buahnya berusaha keras untuk mencapai di mana mereka berada kini.

"Daripada mula tiada siapa yang jangka pasukan ini akan mara sehingga ke tahap ini. Semuanya berlaku kerana usaha keras pemain dan saya percaya kesemuanya akan beri yang terbaik nanti," katanya kepada Majoriti.

300455613_5540090332700742_8913557725475649402_n

KL City FC menang 1-0 dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC baru-baru ini. — Facebook/Kuala Lumpur City

Menurut Bojan, dia juga berharap anak buahnya akan memberikan persembahan yang terbaik kerana keutamaan pada malam itu adalah untuk menang.

"Sekarang kita berada di final dan orang akan ingat siapa yang menang, bukan bagaimana pasukan itu menang.

"Jadi saya rasa kita tak boleh jangkakan permainan yang cantik kerana apa yang penting ialah keputusan," katanya yang berkata kedua-dua pasukan mempunyai taktikal tersendiri untuk malam tersebut.

300460813_5544896895553419_732851058534107998_n

Bojan (baju hitam) bersama pemain berjumpa dengan penyokong setia KL City FC. — Facebook/Kuala Lumpur City

Dalam pada itu, Bojan turut berharap tuah bertarung di laman sendiri akan mendatangkan hasil positif seperti sebelum ini.

Jelasnya, beberapa perlawanan yang dilakukan di laman sendiri sebelum ini berjaya memberikan kemenangan kepada pasukannya.

"Selain itu, saya juga berharap penyokong dapat menggunakan sepenuhnya peluang bermain di tempat sendiri untuk hadir memberikan sokongan.

"Memang ada kumpulan penyokong yang sentiasa turun ke stadium setiap kali game KL City tetapi pastinya malam itu akan lebih istimewa dengan sokongan lebih ramai penyokong," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram