Balachandran pasrah, harap bintang Sarawak United tak ucap selamat tinggal


  • Podium
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Tauffiq (kiri) memiliki kelebihan tersendiri yang mampu membantu pasukan Sarawak United pada musim depan. — Agensi

KONTRAK penjaga gawang Sarawak United, Tauffiq Ar Rasyid Johar bakal tamat pada November 2022 dan masih belum ada khabar mengenai ke mana arah tuju pemain tersebut musim depan.

Rata-rata penyokong skuad Ngap Sayot mahu pemain berusia 26 tahun itu diikat dengan segera agar dia tidak disambar mana-mana kelab lain yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya sejurus selepas kontraknya berakhir.

Senada dengan penyokong, ketua jurulatih Sarawak United, S. Balachandran turut berharap pemain benteng terakhir itu dapat dikekalkan untuk musim akan datang.

Menurutnya, pemain dari Selangor itu memiliki kelebihan tersendiri sekali gus menjadikannya aset kepada skuad yang berpangkalan di Borneo itu.

"Saya akui sekarang ini dia memang berada di tahap prestasi yang bagus dan banyak membantu skuad kami daripada dibolosi lawan.

Balachandran mahu mempertingkatkan lagi mutu permainan skuad Ngap Sayot pada musim depan. Agensi

"Kalau boleh, saya mahu kekalkan dia dalam skuad kami. Walaupun di akhirnya nanti, semuanya terpulang kepada pengurusan dan Tauffiq sendiri," katanya kepada Majoriti.

Balachandran memberitahu, Tauffiq merupakan penjaga gol berkaki kiri (left foot keeper), saiz fizikalnya juga bagus, selain ketangkasannya menangkap bola juga mengagumkan.

"Jika diberi pilihan, saya sebagai jurulatih mahu dia kekal. Tapi jika meninggalkan kami adalah yang terbaik buat karier dia, saya relakan.

"Sebab tempoh masa stamina seorang pemain bola sepak ini berada di tahap optimal tidak lama. Jadi, biarlah dia lakukan yang terbaik untuk dirinya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram