Padah kerjakan remaja pakai selipar, polis cekup ketua kampung


  • Benua
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Seorang lelaki Dalit dipukul dengan selipar sambil disaksi oleh konco-konco ketua kampung.

DUA orang telah ditahan di Muzaffarnagar, Uttar Pradesh, India kerana didakwa memukul seorang pemuda Dalit dengan selipar selepas video kejadian itu tular di internet, kata polis India pada Sabtu.

Menurut polis, Dinesh Kumar 27, seorang lelaki Dalit, dipukul oleh ketua kampung Tajpur, Shakti Mohan Gurjar dan bekas ketua kampung Reta Nagla, Gaje Singh dengan selipar, selain turut mengugut untuk membunuhnya.

Superintendan Arpit Vijayvargiya memberitahu pemberita, kedua-dua suspek telah didakwa di bawah Kanun Keseksaan India (IPC) dan Akta Pencegahan Kekejaman SC/ST.

"Di Muzaffarnagar, seorang ketua kampung dan konco-konconya membelasah seorang pemuda dengan selipar di khalayak ramai.

"Mereka turut mengugut untuk bunuh sambil menggunakan kata-kata hina berdasarkan kasta.

"Mereka juga merakam kejadian itu dan menjadikannya viral untuk mengaibkan masyarakat Dalit," katanya.

Shakti kini ditahan polis dan siasatan sedang dijalankan terhadap tertuduh kedua.

Pekerja Tentera Bhim bersama-sama anggota masyarakat Dalit mengadakan piket di luar balai polis Chhapar untuk membantah kejadian itu.

Mereka turut menuntut tindakan tegas diambil terhadap tertuduh.

Polis telah memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram