PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengumumkan barisan kejurulatihan skuad bawah 23 tahun (B-23), minggu ini.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar yang turut memaklumkan bahawa badan induk itu sudahpun di peringkat akhir bagi memuktamadkan perkara berkenaan.
"Kita akan mengumumkannya dalam sidang media selewat-lewatnya minggu ini.
"Calonnya sudah ada dan kita juga akan umumkan sekali barisan kejurulatihan.
"Yang pasti, metodologinya sama, falsafahnya sama agar wujud kesinambungan antara skuad B-23 ini dan juga skuad senior kebangsaan (Harimau Malaya)," katanya pada Isnin.
Difahamkan, isu mengenai calon yang bakal mengemudikan skuad B-23 bagi menggantikan Brad Maloney, agak hangat diperkatakan ketika ini dengan beberapa nama disebut-sebut bagi menggalas tanggungjawab tersebut.
Tambah Saifuddin, pihaknya turut mendapatkan pandangan daripada pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi pemilihan pengendali skuad B-23 kali ini.
Katanya, perkara itu bagi memastikan kesinambungan antara skuad B-23 dan skuad senior kebangsaan.
"Sebenarnya, kita minta juga pandangan daripada Pan-gon supaya dapat buat persiapan awal.
"Lagipun latihan pusat skuad kebangsaan akan diadakan mulai 15 September ini sebagai persiapan bagi mengharungi Kejohanan 4 Penjuru dikenali Piala Raja Thai 2022 di Chiang Mai, Thailand pada 20 hingga 24 September 2022 nanti," katanya.
Sementara itu, Saifuddin tidak menolak kemungkinan ada pemain daripada skuad B-23 akan terpilih ke kejohanan Piala Raja Thai 2022.
Malah katanya, Pan-gon juga sedang giat mengenal pasti dan menilai pemain-pemain berkenaan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M), ketika ini.
"Pemain-pemain ini sedang 'diperhatikan' oleh Pan-gon dan kali ini bakal menyaksikan ada pemain B-23 beraksi bersama skuad Harimau Malaya pada kejohanan (Piala Raja Thai 2022) nanti," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram