SEORANG lelaki dipercayai peragut menerima padah selepas dipukul dan ditangkap sekumpulan penduduk dalam satu kejadian di Batu 16, Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.
Menerusi video berdurasi 37 saat itu, suspek kelihatan dipegang oleh seorang individu sambil dikerumuni orang ramai yang berada di kawasan kejadian.
Kelihatan lelaki itu dalam keadaan ketakuan dan diminta untuk dilepaskan dan permintaannya itu dipercayai ditunaikan oleh individu yang memegangnya.
Perkara itu dikongsikan pengguna media sosial, @nanmanjoi8715 di Twitter pada Isnin.
Di ruangan komen, ramai yang mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya menangkap penjenayah itu.
"Kawasan ini memang dah banyak kes-kes jenayah macam ini, bagus juga mereka dapat tangkap manusia macam ini, sekurang-kurangnya hilang sikit kes ragut," kata @MohdBakiAzam.
"Bagus penduduk kawasan itu berganding bahu tumpaskan penjenayah, syabas saya ucapkan," ujar @HarithIrfan.
"Dia seorang sahaja ke yang kena tangkap, selalunya kalau kes ragut tak berani dia nak bergerak seorang," luah @TaufiqAmaar.
Belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kes itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram