PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC), Petrus Shitembi mencuri tumpuan dalam perlawanan derbi Pantai Timur antara pasukan itu dan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super yang bekesudahan TFC menang 2-1.
Shitembi yang tidak dapat diturunkan dalam dua perlawanan akibat kecederaan, jelas menjadi penyelamat dalam perlawanan tersebut apabila berjaya membantu pasukannya mengumpul tiga mata penuh.
Diturunkan dalam posisi pemain tengah, pemain kelahiran Namibia itu menunjukkan permainan cukup bertenaga dengan hantaran dan juga lorongan kemas yang berjaya mengelirukan barisan pertahanan lawan.
Meskipun ketinggalan pada awal babak kedua menerusi jaringan Manuel Hidalgo, gaya permainan skuad TFC, terutamanya Shitembi memberi harapan kepada para penyokong yang memenuhi Stadium Darul Makmur dalam usaha membawa pulang tiga mata.
Harapan itu jelas membawa kepada kegembiraan apabila Shitembi melakukan satu hantaran tepat daripada sepakan sudut yang berjaya ditanduk ke arah pintu gawang gol oleh rakan sepasukan, Habib Haroon pada minit ke-73 perlawanan.
Tidak cukup dengan itu, Shitembi sekali lagi menempa namanya dalam perlawanan tersebut apabila sepakan derasnya terkena pemain pertahanan lawan lalu mengelirukan penjaga gol Sri Pahang FC, Samassa.
Jaringan itu jelas bermakna buat pemain berjersi no.11 itu apabila ia merupakan gol pertama buatnya bersama skuad Sang Penyu selepas menyertai TFC pada Januari 2021.
Permainan itu juga pasti membawa kegembiraan kepada Shitembi apabila dia hanya mampu merekodkan tiga bantuan jaringan dalam 10 perlawanan liga tahun ini tanpa sebarang gol berjaya dijaringkan.
Kegembiraan itu juga pastinya dirasakan para peminat TFC yang tidak henti-henti memberikan pujian dalam media sosial terhadap bekas pemain Sabah FC itu.
Seorang penyokong bola sepak di Instagram, Ahmad Hanin Mohd berkata, kehadiran Shitembi di bahagian tengah membolehkan jentera serangan berfungsi dengan lebih baik.
"Tanpa Shitembi, sukar untuk Terengganu FC untuk bermain dengan baik malam ini (Isnin) dan dia membolehkan (Manuel) Ott dan Habib selesa untuk memainkan peranan masing-masing," katanya.
Seorang lagi penyokong, Nur Syarafana turut melihat sumbangan Shitembi dalam perlawanan tersebut adalah cukup mengkagumkan, lebih-lebih lagi dengan kejayaan pemain itu untuk mencetak gol peribadinya.
"Petrus Shitembi untuk gol kedua, aku rasa sangat terharu sebab usaha untuk menghasilkan dan mencipta gol dalam setiap perlawanan itu dapat dilihat," katanya.
Bagi Nazli Suhardi, permainan yang dipamerkan Shitembi wajar diberikan pujian meskipun keseluruhan pemain pada perlawanan tersebut memberikan semangat juang yang tersendiri.
"Tahniah kepada semua pemain, terutamanya Shitembi, Habib, Ott dan Faisal yang menguasai bahagian tengah. Kembalinya Shitembi sememangnya memberi impak besar kerana gandingannya bersama Habib sememangnya bergaya," katanya.
Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan skuad kendalian Nafuzi Zain di tangga keempat Liga Super dengan 26 mata dalam usaha melayakkan diri ke saingan Piala AFC musim depan.
Skuad Sang Penyu selepas ini akan menerima kunjungan Melaka United sebelum berdepan Johor Darul Takzim dalam final Piala FA 2022 pada 10 September depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram