Andai Faisal Halim ke Selangor, penyokong TFC desak naikkan pangkat ubi muda


  • Podium
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Dua gol Fazli Ghazali berjaya mengikat Kelantan FC 2-2 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

MUSIM 2022 Liga Malaysia (Liga M) belum lagi melabuhkan tirainya, namun desas-desus perpindahan pemain melibatkan beberapa pasukan sudah hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong bola sepak negara.

Baru-baru ini, Selangor FC dikatakan sedang membuat persiapan awal dengan mengintai dua pemain kebangsaan dan salah satu daripadanya ialah bintang Terengganu FC (TFC), Faisal Halim.

Perkhabaran Faisal ke Gergasi Merah semakin kukuh selepas wartawan Astro Arena, Fina Nasrom menulis ciapan menerusi laman Twitter mengenai status tawaran pemain tersebut.

“Tawaran dari Selangor FC itu ada tapi.. Faisal Halim nak tengok tawaran TFC dan jurulatih musim depan sebelum buat keputusan akhir selepas final Piala FA,” tulisnya.

Rumour itu pastinya menggusarkan penyokong setia skuad Penyu kerana Faisal merupakan tonggak utama bagi jentera serangan pasukan dibawah kendalian Nafuzi Zain itu.

WhatsApp Image 2022-08-22 at 4.37.11 PM

Faisal dikhabarkan akan berhijrah ke Selangor FC pada musim depan.

Mulai menyertai TFC pada musim 2021, pemain berusia 24 tahun itu berjaya meledak enam gol bagi saingan Liga Super dan sering diturunkan dalam senarai skuad utama Sang Penyu.

Justeru itu, sebagai langkah persediaan sekiranya pemain kelahiran Pulau Pinang itu sah ke Gergasi Merah, penyokong skuad Penyu menggesa agar pihak pengurusan menaikkan pangkat pemain TFC II, Wan Fazli Wan Ghazali ke skuad utama musim depan.

Fazli Ghazali yang kini bermain untuk skuad TFC II semakin disukai penyokong terutamanya selepas aksi cemerlangnya menyumbangkan gol buat pasukan itu sewaktu aksi menentang Kelantan FC dalam saingan Liga Perdana pada Ahad.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi penjaring tunggal TFC II dan sekali gus berjaya membantu pasukannya untuk menyamakan kedudukan sehingga keputusan akhir mencatat seri 2-2 sewaktu menentang Kelantan.

WhatsApp Image 2022-08-22 at 4.37.34 PM

Fazli Ghazali juga merupakan bekas pemain TFC III.

“Terengganu bukan tiada penyerang, cuma jarang diberi peluang. Ini terbukti keputusan loan Jordan Mintah ke KL City, kita boleh nampak bakat muda penyerang muda TFC 2.

“Dia dari musim lepas lagi dah padu, boleh main wing dan boleh main penyerang. Pakej lengkap, shooting, header, speed semua ada. Cuma peluang untuk dinaikkan ke skuad utama belum masih ada. Harap tahun depan nama dia salah satu penyerang lokal,” kata penyokong TFC, Ben Ben.

Semenjak Jordan Mintah berhijrah ke Kuala Lumpur City FC sebagai pinjaman pada Jun lalu, pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali memberi peluang kepada Fazli Ghazali untuk ketuai jentera serangan ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram