MAKTAB Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, Pahang mengambil tindakan disiplin dan memindahkan beberapa pelajarnya yang dilaporkan membuli seorang pelajar perempuan maktab itu baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata, tindakan itu dibuat tanpa didedahkan kepada umum bagi memastikan MRSM terus menjadi pusat pembelajaran yang kondusif dan selamat.
"Walaupun kes itu terpencil, Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak berdiam diri dan tindakan telah diambil dengan memindahkan pelajar yang membuli ke tempat lain," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Mara di Kuching, Sarawak, pada Isnin.
Media melaporkan, tular di Facebook seorang wanita mendakwa anaknya dibuli di MRSM berkenaan sejak Jun lepas dan pihak asrama dikatakan lambat bertindak menangani isu berkenaan.
Susulan itu, wanita itu bertindak membuat laporan polis serta merujuk anaknya ke hospital kerana pihak asrama menyatakan anaknya mengalami masalah keresahan.
Dalam perkembangan lain, Hasbi berkata, bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak Sarawak memasuki MRSM, MRSM Bintulu yang dijangka siap pada tahun ini akan memulakan operasinya tahun hadapan manakala MRSM di Lawas masih di peringkat tender.
Pada majlis itu, 40 kakitangan Mara Sarawak menerima anugerah masing-masing atas prestasi perkhidmatan cemerlang yang telah ditunjukkan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram