‘Sampai masuk hidung dan mulut’ — Sedekad dihurung lalat tak kira masa


  • Tular
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan keadaan rumah penduduk kampung yang dihurungi lalat tanpa mengira waktu.

NASIB penduduk Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Satu, Sungai Panjang, Sungai Besar, Selangor yang terpaksa berdepan dengan masalah lalat dilihat seakan tiada penghujungnya walaupun aduan demi aduan telah dilaporkan.

Melalui satu video tular yang dimuat naik di aplikasi TikTok jbblspofficial menunjukkan dua orang penduduk kampung tersebut terpaksa menjalani kehidupan tidak selesa berikutan kehadiran puluhan ribu lalat yang bukan sahaja merimaskan, malah dibimbangi mengancam kesihatan.

Melalui video tular tersebut, dua orang warga emas berbangsa India turut mengadu keadaan lalat tersebut mengganggu kehidupan seharian mereka.

"Kami ini orang tua, kalau sakit siapa yang nak bertanggungjawab?

"Dengan keadaan lalat ini, macam mana saya nak masak? Nak makan pun susah.

"Siapa yang tahan dengan keadaan dihurung lalat seperti ini dan siapa yang nak bertanggungjawab," kata wanita tersebut.

Dalam satu lagu video berlainan menunjukkan seorang warga emas turut mengadu dengan keadaan lalat yang semakin teruk itu.

Menurut nenek tersebut, dia terpaksa berselubung dengan selimut kerana lalat terlalu banyak di kawasan rumahnya.

Hasil pemerhatian Majoriti di halaman TikTok berkenaan, penduduk kampung menjadi mangsa dihurung lalat tanpa mengira waktu.

Halaman TikTok tersebut telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Bertindak Bencana Lalat Sungai Panjang bagi membela nasib penduduk kampung yang terkesan dengan keadaan tersebut.

Menurut seorang penduduk di kampung di kawasan itu, mereka menanggung masalah lalat itu sejak 10 tahun lalu.

"Sudah bagi ubat, kertas pelekat itu dah banyak beli. Masih juga ada lalat.

"Lalat masuk mulut, masuk hidung. Susahlah," katanya dalam satu video.

Kejadian itu didakwa berlaku akibat daripada ladang ternakan ayam yang dibina berdekatan dengan kampung tersebut.

Difahamkan, penduduk kampung juga telah menghantar wakil ke pejabat Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) untuk membincangkan masalah yang membelengu penduduk tersebut.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram