Pengunjung bimbang kura-kura Taman Ampang Hilir makin kurang


  • Massa
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Lokasi Taman Tasik Ampang Hilir terkenal dengan penampakan kura-kura namun jumlahnya semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

PENGUNJUNG Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur yang terkenal dengan kemunculan kura-kura, bimbang dengan jumlah haiwan itu yang semakin berkurangan dan meletakkan kesalahan terhadap pemburu haram.

Seorang pengunjung yang enggan namanya disiarkan, memberitahu StarMetro bahawa kebanyakan pelawat taman itu menyedari kekurangan penampakan penyu sejak tiga bulan lalu.

“Kami mengandaikan kura-kura tersebut mungkin berhibernasi. Tetapi pada 12 Ogos, saya melihat seorang pemburu haram mengangkut kura-kura besar keluar dari tasik.

“Kejadian ini berlaku ketika awal pagi semasa pintu taman masih berkunci.

“Pemburu haram itu hendak membawa keluar haiwan itu apabila dia dihalang oleh seorang lagi pengunjung taman yang menyuruhnya memasukkan semula penyu itu ke dalam tasik,” katanya.

Tambahnya, pemburu haram itu meminta RM400 daripada individu berkenaan namun dia hanya menghulurkan duit RM100 sebelum berlalu pergi.

Chong Chan, 73, berkata, ada ketikanya pengunjung dapat melihat kura-kura di tebing berumput di tepi tasik.

“Sesetengah kura-kura akan naik ke darat dan berada jauh dari tasik. Saya pernah mengambil kura-kura untuk mengembalikannya ke tasik, tetapi kejadian sedemikian jarang berlaku sejak kebelakangan ini," katanya.

Nuha Yahya, 33, berkata keselamatan di taman itu perlu dipertingkatkan.

“Terdapat papan tanda ‘Dilarang Memancing’ di sekitar tasik, tetapi banyak pemancing berbuat demikian pada waktu petang.

“Saya rasa pihak berkuasa tidak tegas dalam isu ini kerana saya tahu mereka kadang-kadang mengadakan pertandingan memancing di sini,” kata Nuha.

Walaupun tiada aktiviti memancing kelihatan di dalam kawasan taman, pemeriksaan di sekeliling perimeter tasik menemui tali pancing yang diikat pada dahan pokok di tepi tebing.

Mata kail spring juga turut ditemui di atas rumput.

Pengawal keselamatan taman itu mengesahkan bahawa memancing tidak dibenarkan di taman itu dan sesiapa yang dikesan berbuat demikian akan dihalau keluar.

StarMetro sedang mendapatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mendapatkan ulasan mengenai isu tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram