Menjelang Derbi Borneo, 'Oppa Lee' kembali perkuat Sarawak United?


  • Podium
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Kali terakhir 'Oppa Lee' dilihat beraksi bersama Sarawak United adalah pada Jun lepas. — Facebook/Sarawak United

MISTERI kehilangan Lee Changhoon akhirnya terjawab selepas ketua jurulatih Sarawak United FC, S. Balachandran mengesahkan tonggak import itu mengalami kecederaan lutut.

Kali terakhir pemain import yang diberi jolokan nama 'Oppa Lee' dilihat bermain dalam pasukan Sarawak United pada perlawanan Liga Super menentang Melaka United pada Jun lalu.

Menurut ketua jurulatih skuad Ngap Sayot itu, Lee hanya direhatkan sementara.

"Lee mengalami kecederaan otot dan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

"Tetapi keadaan dia semakin beransur pulih.

"Lee akan menyertai sesi latihan bersama pemain yang lain pada Sabtu," katanya pada Majoriti.

Menjawab pertanyaan sama ada Lee akan diturunkan untuk perlawanan akan datang, Balachandran tidak mahu membuat keputusan yang terburu-buru.

"Kita akan lihat prestasi yang ditunjukkan semasa latihan nanti.

"Sekiranya dia nampak fit ketika di padang kita mungkin akan beri dia peluang untuk bermain pada perlawanan akan datang.

"Saya cuma nak bagi masa untuk dia betul-betul pulih," katanya.

Pemain import berasal dari Korea ini boleh dikatakan pemain tonggak utama pasukan Sarawak United.

Dalam 14 perlawanan melibatkan Sarawak FC, Lee diberi kepercayaan untuk mewakili skuad Ngap Sayot sebanyak sembilan kali.

Skuad Ngap Sayot bakal bertembung dengan Sabah FC dalam Derbi Borneo pada Selasa depan dalam persaingan Liga Super 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram