SELEPAS 14 perlawanan dalam Liga Super, Penang FC masih kekal di tangga tercorot liga dengan kekalahan terbaharu ke atas Sarawak United, 2-3.
Penyokong juga terus berduka dengan prestasi semasa pasukan kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan.
Bagi penyokong Penang FC, Shah Akmal, dia melihat prestasi pemain skuad Harimau Kumbang nampak begitu longlai kecuali Lucas Silva.
Aksi pemain Penang FC ketika bertemu Sarawak United baru-baru ini. — Bernama
"Saya nak beri kredit pada Lucas Silva atas usaha kerasnya di atas padang. Berlari ke sana ke sini mengejar bola dengan harapan rakan sepasukan boleh bantu untuk menambahkan jaringan.
"Tetapi usahanya itu ibarat dibunuh rakan sendiri. Malah, Silva hanya terduduk dan tunduk kecewa walaupun dia dah bantu mendapatkan dua gol penting untuk menyelamatkan maruah Penang FC dalam perlawanan menentang Sarawak United.
"Kontrak Silva bersama Penang FC juga wajar disambung untuk musim depan," katanya.
Tangga tercorot jadi idaman?
Liga Super Malaysia (MFL) sebelum ini sudah mengumumkan mengenai saingan itu pada musim akan datang ditambah kepada 18 pasukan dan Liga Premier akan dimansuhkan.
Perkara itu menyaksikan yang Penang FC ibarat sudah terselamat daripada penyingkiran.
Pemain Penang FC dikawal ketat tiga pemain Sarawak United. — Facebook/Penang Football Club
Bagi Shah Akmal, dia setuju dengan pandangan penyokong lain yang menganggap bahawa pemain Penang FC sudah terlalu selesa sekarang dan tidak perlu memikirkan soal penyingkiran.
"Tetapi adakah tangga tercorot ini menjadi idaman pasukan dan harapan penyokong yang hadir ke stadium?
"Apatah lagi tahun lepas Penang FC dilabelkan sebagai pasukan underdog yang boleh mencabar kedudukan tiga pasukan teratas dalam Liga Super.
"Ubahlah mentaliti supaya penyokong tak hukum pemain untuk beraksi dalam stadium yang kosong. Bak kata pepatah, Football is nothing without a fans," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram