RIBUAN tin sardin bertaburan di jalan laluan Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kuala Kangsar akibat kemalangan yang melibatkan kontena muatan sardin.
Kejadian sekitar jam 1 petang di Kilometer 265.9 itu mengakibatkan semua laluan terhalang dan aliran trafik terhenti lebih tiga kilometer.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lori terbabit dalam keadaan merintangi laluan dengan muatan dibawa bertaburan atas jalan.
Sementara itu, dalam satu video berdurasi 44 saat yang dikongsi di media sosial menunjukkan ribuan tin dan isi sardin bertaburan atas jalan.
Laluan lebuh raya juga bertukar warna kemerahan apabila sebahagian besar tin sardin pecah dilanggar kenderaan lain.
"Laluan berkenaan telah ditutup sepenuhnya dan kenderaan dari arah utara telah dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar bagi kerja-kerja pengalihan dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurut beliau, polis telah ditempatkan di lokasi kejadian bagi membantu kawalan aliran trafik untuk mengelak kesesakan lebih teruk.
"Kenderaan telah diarah untuk menggunakan laluan alternatif dari Tol Kuala Kangsar ke Sungai Siput untuk ke Ipoh," katanya.
Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada 1.24 petang memberitahu, laluan kontra telah dibuka di Kilometer 267.0 hingga 265.1 arah utara bagi mengurangkan kesesakan.
Trafik masih bergerak perlahan dan pengguna diminta mematuhi papan tanda. — Sinar Harian