SEPERTI yang kita sedia maklum, Malaysia tidak berkuasa dalam arena bola sepak dunia, manakala Liga Malaysia (Liga M) juga bukan fokus utama dunia.
Namun, persembahan yang ditunjukkan oleh penyerang Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj ketika menentang Selangor pada Ahad lalu agak mengejutkan, setelah menjadi buah mulut peminat bola sepak dunia.
Ketika aksi sebenar hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan, Sean Eugene berjaya menjaringkan gol canti hasil percubaan jarak jauh untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Negeri Sembilan.
Lebih membanggakan, aksi Sean turut mendapat perhatian Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), apabila jaringannya tersenarai antara pemain dari seluruh dunia yang menjaringkan gol tercantik pada minggu ini.
FIFA memuat naik rakaman jaringan berkenaan di laman Twitter rasminya dengan keterangan: "Sean Selvaraj for @nsfc1923 in @MFL_MY" merujuk kepada antara gol yang mungkin tersenarai dalam Anugerah Puskas.
Ciapan itu sekali gus menguatkan lagi harapan untuk melihat satu lagi jaringan pemain tempatan berjaya tersenarai untuk Anugerah Puskas.
Faiz Subri pernah memenangi Anugerah Puskas pada 2016. — Awani
Satu-satunya pemain negara yang pernah memenangi anugerah berkenaan ialah bekas pemain Pulau Pinang, Faiz Subri yang memenangi Anugerah Puskas 2016.
Selain Malaysia, FIFA menerusi hantaran di laman Twitter turut memberi perhatian kepada pemain luar negara.
Isnin lalu, pasukan Central Córdoba menewaskan Rosario Central 3-0 pada saingan Liga Perdana Argentina.
Pada minit ke-23 perlawanan, selepas hantaran dari sebelah kanan, pemain tengah Central Cordoba, Francisco González Metilli merembat bola ke sebelah kiri pintu gol dengan gerakan sensasi dari jarak 16 meter.
Metilli mendapat perhatian FIFA setelah tersenarai melakukan gol tercantik minggu ini. — Agensi
Rembatan pemain berusia 25 tahun itu menerjah jaring dengan penjaga gol pihak lawan tidak berpeluang menyelamatkan keadaan.
Persembahan yang ditunjukkan oleh Metilli itu mendapat perhatian dunia, yang rata-rata menjangkakan bahawa dia merupakan calon terbaik untuk memenang Anugerah Puskas tahun ini. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram