Bung Moktar mahu Sabah wujudkan undang-undang buru buaya


  • Primer
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Bung Mokhtar berharap kewujudan akta tersebut bagi mengelak lebih ramai penduduk menjadi mangsa dibaham buaya. — Bernama

AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mencadangkan supaya kerajaan negeri mewujudkan peraturan atau akta membenarkan memburu buaya bagi mengurangkan jumlah haiwan itu di Sabah.

Beliau berkata, langkah menangkap dan membunuh reptilia itu perlu dilakukan secara berkala dan sistematik bagi mengelak lebih ramai penduduk menjadi mangsa dibaham buaya.

"Kerajaan perlu mengambil langkah dengan mewujudkan peraturan atau akta sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dalam menangani isu buaya yang terdapat di beberapa sungai di Sabah khususnya di Kinabatangan.

"Langkah itu bagi membenarkan menangkap dan membunuh buaya secara berkala serta sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan berkenaan di Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, demikian bagi mengulas isu mangsa dibaham buaya termasuk dalam kejadian pada Sabtu di mana seorang wanita ditemui maut di Sungai Kinabatangan, Sabah.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, susulan kejayaan negara menurunkan taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II di Mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan diharap keputusan itu akan membolehkan buaya di Sabah diburu serta diperdagangkan.

"Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan akan dapat kita lakukan bagi mengurangkan populasi buaya di Sabah.

"Ini demi menjamin keselamatan penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran sungai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram