'Penyokong' Man United paling kuat kritik, maki pemain sendiri


  • Podium
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Penyokong Manchester United dikatakan paling banyak membuat kritikan terhadap pemain kelab itu di Twitter. — Agensi

HAMPIR dua pertiga atau 418 daripada 618 pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) menerima sekurang-kurangnya satu ciapan kata-kata kesat daripada penyokong kelab masing-masing.

Hasil kajian itu mendapati pemain yang menerima tweet kesat paling tinggi adalah dalam kalangan pemain Manchester United.

Lapan daripada 10 pemain yang paling banyak dibuli di Twitter datang dari kelab The Red Devils dengan Cristiano Ronaldo menerima ciapan kesat tertinggi sebanyak 12,520 ciapan.

Angka itu dipengaruhi oleh dinamik populariti pemain dari Portugal itu yang menerima sejumlah 576,915 mesej secara keseluruhannya dengan hanya 2.2 peratus dilaporkan mempunyai unsur negatif.

Ia diikuti oleh Harry Maguire dengan sejumlah 8,954 ciapan. Walaupun pemain pertahanan Manchester United itu dilaporkan menerima lebih banyak mesej kesat dari segi kelantangan, angka itu hanya menyumbang 14.9 peratus daripada mesej yang menyasarkannya.

skynews-marcus-rashford-cristiano-ronaldo_5743849

Populariti Ronaldo (kiri) mempengaruhi dinamik ciapan terhadapnya. — Agensi

Sebagai perbandingan, Benjamin Mendy, tonggak pertahanan Manchester City yang dituduh melakukan lapan kesalahan terhadap lima wanita berbeza, termasuk tujuh pertuduhan merogol, menerima 405 ciapan kesat.

"Kebanyakan ciapan itu menyampaikan rasa marah dan jijik terhadap tuduhan terhadapnya," kata kajian itu.

Pemain Manchester United lain yang menerima ciapan kesat ialah Marcus Rashford (2,557), Bruno Fernandes (2,464) dan Fred Rodrigues Santos (1,924).

Selain itu, Jesse Lingard turut menerima sebanyak 1,605 kecaman di Twitter, manakala David de Gea dan Paul Pogba masing-masing menerima (1,394) dan 1,446 tweet.

Pemain kelab lain yang turut menerima nasib sama ialah Harry Kane dari Tottenham Hotspurdan dengan 2,127 ciapan kesat dan Jack Grealish (Manchester City) (1,538).

Di samping itu ialah Ciaran Clark, pemain Newcastle United yang menerima 145 tweet kesat dengan 46 daripadanya ditujukan selepas insiden dia dibuang padang ketika menentang Norwich City pada 30 November 2021.

"Twit tersebut menyerang prestasi buruknya, dengan ramai yang mencadangkan dia harus 'keluar' dari kelab. Sebilangan kecil tweet tertumpu kepada kewarganegaraannya," menurut kajian itu.

0_Newcastle-United-v-Norwich-City-Premier-League-St-James-Park (1)

Clark menerima kecaman teruk di Twitter berikutan insiden dia dibuang padang ketika menentang Norwich City pada 30 November 2021. — Agensi

James McArthur dari Crystal Palace, yang dilayangkan kad kuning selepas memijak kaki Bukayo Saka, juga antara pemain yang menerima ciapan kesat.

“Twit kepada pemain itu datang dari pengguna Twitter yang kelihatannya seperti peminat Arsenal,” kata laporan itu.

Penyelidikan itu mencadangkan bahawa populariti Manchester United mungkin mempengaruhi statistik tersebut apabila dipertimbangkan hanya dari segi jumlah ciapan.

Pada masa sama, penyelidikan itu juga secara konsisten mendapati kaitan antara persepsi peminat terhadap prestasi pemain yang kurang memberangsangkan di padang dan mesej kesat turut mempengaruhi dapatan penyelidikan.

Kajian mencadangkan bahawa ciapan itu awalnya ditujukan sebagai kritikan tetapi kemudian menjadi satu bentuk pembulian apabila ia dikesan sudah melampaui batas.

Penyelidikan dijalankan oleh Ofcom and the Alan Turing Institute dianalisis daripada lebih 2.3 juta tweet kepada pemain Liga Perdana Inggeris dalam tempoh lima bulan bagi musim 2021/22

Daripada jumlah itu, sebanyak 60,000 ciapan dikesan mengandungi unsur negatif. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram