Demi mencari jenazah anak, bapa sanggup berhenti kerja gali pasir setiap hari selama 8 bulan


  • Benua
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Zuhri lega akhirnya jenazah anaknya ditemukan selepas sekian lama menggali. — Agensi

KASIH seorang bapa mendorong Muhammad Zuhri untuk terus menggali tanah bagi mencari jenazah anaknya yang hilang pada tragedi letusan Gunung Semeru di Jawa timur, Indonesia, Disember 2021 lalu.

Rutin harian itu dilakukan dari saat matahari terbit sehingga matahari terbenam dengan harapan jenazah remaja berusia 19 tahun tersebut dapat ditemui.

Mangsa bernama Ahmad Rendy Pratama itu kali terakhir dilihat di sekitar sungai sebelum hilang bersama letusan gunung yang mengakibatkan keadaan sekitar menjadi gelap.

Zuhri terkilan kerana Rendy hilang tanpa khabar ketika dia ingin menjemputnya pulang dari kerja setelah disuruh ibunya, Siti Maryam.

Bagaimanapun, hanya beberapa saat selepas Rendy berangkat, Zuhri sempat tiba di rumah sebelum letusan Gunung Semeru berlaku.

"Kalau saya berserah, saya tidak akan jumpa Rendy selama-lamanya. Itu anak saya. Sudah pasti saya akan terus menggali pasir di kawasan sekitar sehingga jenazahnya ditemui," katanya.

Demi mencari putera sulungnya itu, Zuhri sanggup berhenti kerja sebagai tukang masak gula jawa dan menghabiskan sejumlah wang sebanyak Rp430 000 (RM129) untuk menyewa alatan menggali.

Kepulan asap hasil daripada letusan gunung membuatkan keadaan sekeliling menjadi kabur.Agensi

Setelah tidak lagi mampu membayar kos sewa alatan, Zuhri bertindak menggunakan seluruh kudratnya untuk menggali secara manual.

Bagaimanapun, baru-baru ini, salah seorang peserta pencarian bernama Said menemukan tulang dan tengkorak manusia dengan ciri-ciri pakaian Rendy seperti yang pernah disampaikan Zuhri.

"Di telefon berkali-kali, saya tidak dengar sehinggalah ada yang datang memaklumkan saya mengenai hal tersebut. Saya terus berlari ke sana untuk memastikannya.

"Saat isteri saya melihat pakaian yang dipakai tengkorak itu, dia terus mengesahkan bahawa itu jenazah anak kami," katanya kepada media tempatan pada Selasa.

Jenazah Rendy telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan rumahnya tanpa menjalani proses bedah siasat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram